Thursday, January 6, 2011

NeW PerCeptIOn..


Assalamualaikum wbt.. Alhamdulillah, segala puji-pujian bagi Tuhan sekalian alam, yang tidak henti-henti melimpahkan rahmat dan kasih sayangNya. Betapa agungnya rahmat dan kasih sayangMu ya Allah. Ingin ku sujud syukur atas segala-galanya yang Kau anugerahkan kepadaku.

Sempena tahun baharu 2011,ana menarik nafas syukur atas kesempatan menghirup udara di muka bumi Allah,memijak tanah yang subur, melihat pepohon rendang,rama-rama berterbangan riang gembira, merasai kelembutan angin membelai pipi dan yang paling utama dapat merasai kesyahduan bertemu denganMu di setiap kali dahiku sujud mencecah tanah.

Tetapi dalam kesyukuran yang berpanjangan, kadangkala hati lalai padaNya.Kaki tersalah langkah dan mulut tersalah berbicara. Tetapi keampunan Allah itu besar. Lebih luas dari dosa-dosa hambaNya. Kadang-kadang,diri ini mengutuk nafsu dan mencerca keinginan duniawi yang melampaui batas. Tetapi akal hilang pertimbangan dan hanya membuntuti hawa nafsu seperti lembu dicucuk hidungnya. Jadi,gunakan sabun istighfar dalam setiap kali membersihkan diri dari daki-daki dosa yang tidak henti-henti melekap pada tubuh.

Pengalaman lalu,banyak mengajar untuk berhati-hati dalam meniti arus kehidupan. Sudah lumrah kehidupan,manusia yang baik pasti akan dianiayai dan dizalimi. Diambil kesempatan atas kebaikan ataupun kekuranganNya. Jangan lupa, Allah itu Maha Adil, setiap apa yang dilakukan pasti ada pembalasanNya. Jadi, serahkan segala urusan tersebut kepada Allah. Pasti Allah memberikan keadilan kepada kita. Terima kasih kerana menzalimiku,terima kasih kerana menganiayai diriku dan terima kasih kerana mengambil kesempatan atas diri yang kerdil ini. Ana tahu di sisi kita ada yang lebih mengetahui apa yang berlaku dan lebih berkuasa mengatur segalanya. Sekarang,ana lebih berhati-hati kerana dunia ini rupanya palsu belaka. Senyuman palsu, hubungan palsu, perasaan yang palsu dan sebagainya. Hanya mata hati yang dapat membuka hijab untuk melihat perkara yang tulen.

Apa yang dilhat tidak sama dengan apa yang tersirat. Cuma pesan ana pada sahabat-sahabat berhati-hatilah dengan segala kemungkinan. Ummat Islam yang bijak tidak akan jatuh ke dalam lubang yang sama dua kali. Berjimat cermat sebelum papa kedana,beringat-ingat sebelum terkena. Dan jangan cuba makan cili,jika tidak sanggup menahan kepedasannya.

Okay,sekarang buka topik baru pulak..Kalian semua percaya tak pada keberkatan? Seperti dalam kisah 'Dunia Baru', mak kepada Piarre Andre selalu mengungkapkan perkataan kaf, ba, ra, ta , nun.. KEBERKATAN..Setiap perkara yang dilakukan perlu ada keberkatan. Bagaimana nak dapatkan keberkatan? Salah satu contoh dalam situasi kehidupan, ungkapan bismillah dalam setiap pekerjaan yang dilakukan pasti akan beroleh keberkatan dari Allah. Macam mana nak tau berkat ke tak? Misalnya, kalau Si A mengulangkaji dalam masa sejam sahaja,dia dah dapat memahami keseluruhan topik dengan baik sekali,padahal si B mengambil masa berjam-jam malah berhari-hari untuk memahami topik tersebut Ini bukan soal pandai ke tak pandai, tetapi soal keberkatan masa yang Allah anugerahkan kepada Si A tersebut. Setiap orang dianugerahkan masa yang sangat cantik,24 jam seorang. Tetapi, tak semua orang merasakan 24 jam tu cukup untuk mereka. Manakala ada orang merasakan 24 jam terlalu lama. Macam mana tuh?

Begitu juga dengan setiap amal perbuatan kita yang lain. Misalnya, ana ambil contoh bagi kaum muslimat yang sentiasa memerah keringat di dapur untuk menyediakan makanan dan minuman kepada keluarga tersayang. Adakah makanan yang disediakan berkat? Makanan yang berkat sentiasa disebut-sebut nama Allah dan sentiasa dibacakan selawat agar ahli keluarga yang makan makanan tersebut sentiasa dilimpahi Nur daripadaNya. Bagaimana nak harapkan keluarga yang harmoni dan bahagia jika makanan tersebut tidak dimulai dengan basmallah. Tambahan pula, orang yang menyediakan makanan tersebut melakukan maksiat kepada Allah. Gantikanlah nyanyian-nyanyian (dangdut ke, rock ke, kalsik nasional ke) yang berkumandang kat dapur dengan pujian dan selawat yang lebih memberkati hidup kita dan ahli keluarga. Dan niatkanlah setiap butir nasi yang ditanak dapat membantu memberi tenaga kepada kita untuk menjalankan ketaatan kepada Allah.

Bagaimana pula dengan muslimin? Sambil-sambil mengecat dinding rumah di kala kenduri menjelang, ataupun mengetuk paku di dinding, ataupun mencangkul rumput di halaman..jangan lupa amalkan zikir dan selawat yang pasti membawa keberkatan dalam setiap amalan harian kita.Orang yang sentiasa mengingati Allah sekali, maka Allah akan mengingatinya beribu-ribu kali kerana selangkah kita dengan Pencipta, seribu langkah Allah 'berlari mendapatkan kita'.Betapa beruntungnya jika kita rahmat dan kasih sayangNya.

Kesimpulannya,umur semakin bertambah.Jadi persepsi kita terhadap alam sekeliling perlu berubah sering dengan kematangan pengalaman dan pengetahuan yang kita timba selama ini. Hiduplah dengan menyumbang apa-apa kerana, dunia adalah ladang sebelum ke akhirat. Kalau tidak menanam dari sekarang,apa yang kita akan petik di akhirat nanti? Kalau banyak menanam pula, jangan diletakkan banyak racun dan serangga perosak( penyakit riak dan takbur) takut rosak hasilnya nanti. Fahamilah dan mengertilah..!



No comments:

Post a Comment