Sunday, March 27, 2011

Life Boundary::Bingkai Kehidupan


Dimulakan, dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani..

Penciptaan alam telah ditetapkan dengan sunnatullah (hukum-hukum yang telah ditentukan oleh Allah) seperti pergerakan bumi mengelilingi matahari, kejadian hujan, kematian dan kelahiran, letusan gunung berapi, fenomena gerhana, kejadian ombak dan lain-lain yang patuh dan tunduk mengikut segala perintah Allah. Malahan manusia tidak lari daripada segala ketetapan Allah.

Ana analogikan manusia sebagai sebuah kereta. Otak adalah sebagai pemandu kereta, tayar sebagai anggota kaki dan tangan yang menggerakkan kenderaan ke hala tuju yang dikehendaki oleh pemandu. Malah telah ditetapkan oleh pembuat kereta bahawa untuk menjana tenaga bagi menggerakkan kereta, perlulah diberikan minyak petrol sahaja. Tetapi, andai kata kita masih berdegil untuk meletakkan minyak kelapa ataupun minyak jagung, maka anda rasa akan berfungsikah kereta tersebut?Pening-pening.. melihatkan masyarakat zaman sekarang yang bersituasi seperti ini. Pencipta kereta tahu segala-galanya kerana dia menciptakan kereta itu daripada tiada kepada ada. Dia Maha Tahu selok -belok keperluan kereta itu. Kenapa, kita yang meminjamkan kereta itu masih berdegil hendak menggunakan minyak selain petrol. Padahal si pencipta memberikan kebebasan untuk memilih untuk mengisi minyak kereta di Petronas,Shell, Caltex dan sebagainya. Asalkan gunakan petrol. Hah,ikut je apa yang diberikan panduan,senang cerita.

Begitu juga dengan kelahiran kita di dunia ini. Allah telah menetapkan garis panduan, undang-undang dan larangan yang perlu dipatuhi. Ikutilah dengan berlapang dada, kerana Allah sangat tahu akan fitrah manusia, isi hati manusia dan hawa nafsu yang membelenggu manusia. Dari segi berpakaian..cuba kita perhatikan adakah kita berpakaian seperti yang digariskan syarak?
Bagi lelaki mungkin tiada masalah besar untuk memilih pakaian.Very easy.Tetapi Allah menggariskan cara berpakaian yang begitu terperinci untuk wanita, kerana apa?Kerana dirimu begitu berharga. Bermula dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki adalah aurat, melainkan muka dan tapak tangan.
Bagaimana dengan kaki?Mestilah perlu ditutup juga kan? tetapi itulah cabarannya untuk menutup aurat, dengan kepanasan cuaca di Malaysia dan hujan serta lecak menyukarkan kita untuk menutup kaki. Kaki terasa geli memakai stokin di dalam kebasahan hujan dan tanah yang berlecak. Kelihatan comot dan tak terurus. Tetapi jangan kita lupa bahawa kaki yang kegelian itulah yang akan menghadapi api neraka kelak. Kaki itulah yang akan dibaham kepanasan api neraka yang menggelenggak sehingga mendidih otak. Biarlah kita tidak selesa buat sesingkat waktu ini daripada anggota badan kita dibakar api neraka buat tempoh yang tiada penghujungnya. Jagalah auratmu (pesanan untuk diri).

Apabila si gadis menginjak dewasa, maka perubahan bentuk tubuh wanita akan bermula. Pinggang mula ramping, pipi makin gebu dan tangan semakin lembut dan halus. Apakah nikmat itu hendak dijoli-jolikan? Dengan berpimpinan tangan dengan si kekasih hati?Boleh berpimpin tangan, tetapi hanya selesai akad mulia (akad nikah) diungkapkan. Peliharalah kecantikan tubuh. Pakai pakaian sepatutnya yang tidak mendedahkan. Apabila semakin si gadis menjaga tatacara berpakaian, semakin tinggi darjat dan martabatnya dimuliakan oleh Islam.

Bolehkah memakai kebaya sendat?dan jeans yang ketat?dan baju yang longgar tetapi jarang? Jawapannya ada di tangan kalian. Kerana kalian lebih mengerti kan, belajar agama mengjangkau 10 tahun di alam persekolahan. Pastilah, ilmu tentang aurat sudah terhafal di kepala dan sudah masak di bibir. Cuma nak atau tak nak saja mengamalkan cara pemakaian yang betul.
Ala..rugilah badan aku cantik,kalau tidak berpakaian mengikut fesyen sekarang, hah bila lagi?Ingat, semua fesyen-fesyen pakaian yang dicipta hanya untuk memperdagangkan maruah wanita. Sedarlah, wahai wanita..maruah kita sedang dinjak-injak. Sedangkan di syurga kelak, Allah telah menjanjikan pakaian yang terindah dan memukau mata memandang bagi hamba-hambanya yang mematuhi segala suruhanNya.

"Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh ke dalam Syurga yang mengalir padanya beberapa sungai; mereka dihiaskan di situ dengan gelang-gelang emas dan mutiara dan pakaian mereka di situ dari sutera."
(Surah al-Hajj :23)
Mari kita lihat sejenak ciri pakaian yang digariskan dalam Islam:

CIRI PAKAIAN DALAM ISLAM

" Katakanlah ( wahai Muhammad ) kepada wanita-wanita mukminat agar mereka menahan pandangan dan memelihara kemaluan mereka dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali apa yang telah zahir pada dirinya dan hendaklah mereka menutup dengan tudung mereka ke atas dada mereka dan janganlah mereka mendedahkan perhiasan mereka kecuali kepada suami-suami mereka, bapa-bapa mereka, bapa suami mereka, anak-anak mereka, anak-anak suami mereka, anak-anak lelaki bagi saudara lelaki mereka, anak-anak lelaki bagi saudara perempuan mereka, wanita-wanita Islam, hamba sahaya yang mereka miliki, lelaki yang mengikut mereka yang sudah tidak mempunyai keinginan ( terhadap perempuan ) atau kanak-kanak kecil yang belum mengetahui mengenai aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki mereka supaya diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan." ( An-Nur: 31 )
1. Menutup Aurat Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
" ….harta ( mereka yang ada dalam kekuasaanmu ) yang dijadikan Allah sebagai pokok kehidupan . Berilah mereka belanja dan pakaian ( dari hasil harta itu ) dan ucapkanlah kepada mereka kata-kata yang baik." ( An-Nisaa': 5 )
Di dalam ayat ini, Allah S.W.T. telah menyuruh kaum wanita supaya menutup aurat mereka. Di dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
" Peha itu adalah aurat." ( Riwayat al-Bukhari )
Dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
" Seorang lelaki tidak boleh melihat kepada aurat seorang perempuan lain." ( Riwayat Muslim )
2. Tidak Jarang Dan Tidak Ketat Pakaian yang jarang akan menampakkan aurat seseorang. Demikianlah juga pakaian yang ketat akan menampakkan bentuk anggota badan yang wajib ditutup. Akibatnya matlamat untuk menutup aurat tidak akan tercapai. Larangan berpakaian dengan pakaian yang sedemikian dapat kita fahami menerusi sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
" Dua golongan ahli neraka yang aku belum melihatnya iaitu satu golongan yang memegang cemeti seperti ekor lembu yang digunakan untuk memukul manusia dan satu golongan wanita yang memakai pakaian tetapi telanjang dan meliuk-liuk tubuh badannya, mereka ini seperti bonggol unta yang tunduk. Mereka tidak masuk syurga dan tidak dapat baunya sekalipun bau syurga itu dapat dicium dari perjalanan sekian-sekian." ( Riwayat Muslim )
3. Bukan Pakaian Yang Diharamkan Memakainya Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:
"Janganlah kamu memakai sutera atau sutera yang bercorak." ( Riyawat Muslim )
Hadis ini menerangkan larangan kepada kaum lelaki. Dalam sabda baginda lagi yang diriwayatkan oleh salah seorang sahabat yang bermaksud:
"(Rasullullah) melarang kami dari memakai cincin emas." ( Riwayat Muslim )
4. Bukan Pakaian Yang Menjadi Syiar Agama Lain Jika seorang lelaki dilarang memakai pakaian wanita dan begitu juga sebaliknya maka apatah lagi seorang muslim memakai sesuatu yang telah menjadi lambang atau syiar.

Catatan : Ikutilah bingkai kehidupan yang telah ditetapkan,walau hati terasa berat melaksanakan. Kerana bingkai itulah yang akan menyelamatkan, dan bingkai itu adalah perisai daripada api neraka dan azab Allah yang sengsara.Turutilah walau sukar, kerana jalan menuju ke syurga adalah pahit, tetapi mengecapi nikmat syurga terlalu manis.


1 comment:

  1. salam ziarah kak miezah (^_^)

    smga istiqamah ye , doakan erma di sini

    maas salamah wa ilal liqo'

    insyaAllah

    ReplyDelete