Friday, July 13, 2012

Menimba pengalaman, mencurah ilmu..

Bismillahirrahmanirrahim..



Sudah menjangkau 7 bulan berkhidmat sebagai penjawat awam..Masih banyak benda yang perlu dipelajari..Dalam tempoh 3 minggu,saya berkesempatan berkursus Kepimpinan Asas Puteri Islam Tahap Satu di  IKBN Hulu Langat, Kursus Penyebaran KSSR Pendidikan Kesihatan di PPD Hulu Langat dan Kursus Penyebaran KSSR Pendidikan Jasmani di Ampang.

Setiap kursus memberikan pengisian berbeza justeru melahirkan impak yang berbeza. Kursus pertama iaitu kursus Puteri Islam memberikan satu momentum dan semangat baru dalam mengendalikan PPIM di sekolah. Peserta (iaitu guru-guru) diberikan pelbagai tugasan yang menguji mental seperti ujian bertulis, penulisan buku log,pengajaran mikroteaching dan penilaian kawad kaki dan tatacara pembukaan dan penutupan. Setiap majlis kami tidak lekang dengan selawat dan asmaul husna memuji nama-nama Allah. Paling seronok adalah semua ahli dan jurulatih terdiri daripada kaum hawa.Tidak lupa juga sesi bersalam selesai acara iaitu acara penutupan.

 Walaupun bukan dari bidang agama, tetapi setiap muslim itu dai'e bagi diri,masyarakat dan keluarga. Justeru, murid adalah mad'u-mad'u kecil kita. Kehadiran ke sini menyegarkan semangat ambil peduli terhadap masalah anak muda yang sering dikaitkan dengan kekurangan ilmu agama. Ingat,bahawa tanggungjawab menyebarkan agama bukan sekadar tergalas pada bahu ustaz dan ustazah, tetapi kitalah, gurulah, ibu bapalah yang berperanan penting. Semoga saya masih ada kepedulian itu.

Ketika di kursus pendidikan kesihatan, guru didedahkan kurikulum baru bagi tahun 3 iaitu kurikulum standard sekolah rendah yang bertujuan mengurang beban guru menyemak kertas peperiksaan (yeke.?hurm). Pembelajaran lebih kepada berpusatkan murid dan guru hanya sebagai fasilitator. Namun,jauh di sudut hati, saya rasa kurang bersetuju dengan bab pertama berkaitan mempelajari organ seksual yang perlu mendedahkan segala-gala organ sulit badan manusia. Guru yang nak menyebut ni pun rasa segan.(rasa macam menc-rut plak). Di sini,kami banyak membuat aktiviti mikroteaching dan melakonkan situasi murid yang diancam keselamatannya. Guru-guru memang berikan kerjasama yang baik. Best juga berlakon jadi budak-budak.

Di kursus KSSR PJ,lokasinya terletak agak jauh dari rumah. Memang kawasan K.Lumpur dah. Hari pertama pergi memakan masa sejam,sebab kena redah jem (tambah roti na) di kawasan Hulu Langat. Lepastu serik, tak nak pergi ikut jalan tu dah. Saya agak bernasib baik,sebab dapat tumpang seorang guru daripada Kajang yang mengikut jalan yang lebih dekat. Alhamdulillah. Peserta terdiri daripada guru-guru PJ berpengalaman. Adala dua tiga orang yang baru posting macam saya. Hari pertama dan kedua lebih kepada mendengar penerangan berkenaan KSSR dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah.

Pada hari ketiga,bermula lah aktiviti padang. Guru-guru mempraktikkan beberapa kemahiran dengan arahan Jurulatih Utama (JU). Antaranya jala ikan, main lambung-lambung bola, leret bola, pukul bola guna gulungan surat khabar. Petangnya,kami melakukan aktiviti gimnastik asas. Kena guling belakang, hambur depan,bina piramid manusia, dan macam-macam lagi. Aktivit yang agak merisaukan adalah binaan piramid manusia, kerana jika tersalah pijak mengakibatkan kecederaan tulang belakang.Saya tengok je,sebab pernah sakit belakang, jadi tak nak amik risiko.

Hari terakhir,kami mula berjemur di padang bermula jam 9.00 pagi sehingga mencecah 12.30 tengah hari. Time ni, JU menekankan kemahiran balingan bola, hantaran, pukulan dsb. Guru perlu menekankan konsep TGFU (teaching game for understanding) yang memberikan keseronokan berganda kepada murid walaupun kandungan pengajarannya adalah  sama. Misalnya bagi aktiviti lari perlahan dan pecut, murid boleh melaksanakan aktiviti lipas kudung, iaitu dalam barisan murid akan berlari anak. Murid belakang akan memotong barisan dan berada di hadapan sekali. Pada waktu petang,kami mendapat pendedahan berkenaan pergerakan berirama (tarian la tu). Perlu laksanakan pelbagai step diiringi. Boleh tahan banyak juga step nk kena ingat. Antaranya Step Close, Polka,Pivot, Joget, Step-Kick dan lain-lain. Hurrm..Boleh kalau nak belajar pergerakan, tetapi tak perlulah bercampur gaul lelaki dan perempuan.(part ni memang segan). Sekiranya kita merasakan percampuran lelaki dan perempuan adalah perkara biasa, pasti kita adalah masalah pada iman. Sekian dulu laporan dari guru novis ni (hehe)...Wasalam..

* Salam Ramadhan Kareem..Smoga Ramdhan kali ini mengubah kita menjadi muslim yang sejati..

Saturday, March 10, 2012

Bukit Broga


Bismillahirrahmanirrahim..

Hampir sebulan lebih ana mula membiasakan diri di tempat tinggal baru dan dunia pekerjaan di pekan Kajang. Dikurniakan seorang rakan serumah yang baik dan guru-guru yang baik. Ada beberapa kenalan dan saudara sangat membantu ana menyesuaikan diri di sini.

Waktu hujung minggu agak terisi dengan sekolah ganti dan pengisian ilmiah di sekitar Bangi dan Kajang. Hujung minggu ini, ana berpeluang mendaki Bukit Broga yang terletak beberapa minit daripada Universiti Nottingham kampus Malaysia. Tempat ini sangat menarik dan menjadi tarikan pengunjung tempatan dan juga luar dari Selangor kerana dari sini, pengunjung dapat melihat keindahan matahari terbit dan terbenam. Cuaca yang dingin dan berangin akan membuatkan pengunjung bersantai dan tenang.


Ana hanya mendaki berdua bersama adik bermula jam 7.45 pagi. Kami hanya membawa sedikit bekalan sandwich dan air mineral. Sebelum memulakan pendakian, kami melakukan sedikit regangan agar kaki tidak kejang dalam perjalanan naik dan turun dari bukit. Jalan-jalan denai dan kelihatan bertangga agak membantu pengunjung untuk mendaki dengan lebih mudah dan pantas. Terdapat juga tali-tali yang diikatkan di beberapa laluan yang agak curam untuk membantu pendaki naik dengan lebih selamat.

Kira-kira 40 minit kemudian, kami tiba di puncak pertama dengan peluh bermandian di wajah dan seluruh badan. Tetapi, memang sangat berpuas hati dan kepenatan terus hilang sebaik sahaja melihat puncak bukit Broga yang berkabus dan kehijauan. Kanak-kanak seawal umur 4 tahun turut berada bersama di sini. Kagum dengan ketahanan dan semangat kanak-kanak ini. Terdapa juga warga tua dan muslimat yang berpurdah turut serta dalam pendakian pada kali ini. Ada juga pasangan kekasih yang tidak segan silu berdating di celah-celah batu. Semuanya datang dengan tujuan dan niat yang berbeza-beza. Hanya niat yang baik akan dinilai oleh Allah sebagai pahala di sisinya.

Sambil mengalas perut, ana dan adik berkesempatan berbual-bual menikmati kedinginan udara di atas puncak. Kawasan puncak dipenuhi dengan lalang-lalang putih yang menyerikan kawasan bukit. Subhanallah. Indahnya pagi di bukit Broga. Kabus masih tebal membuatkan sang matahari tidak kelihatan walaupun jam dah menunjukkan jam 9.30 pagi. Ana dan adik membuat keputusan untuk turun kerana risaukan cuaca hujan yang pasti akan menyukarkan perjalanan untuk turun. Sekiranya hari hujan, pengunjung tidak digalakkan mendaki kerana batu-batu dan jalan denai akan menjadi licin dan merbahaya.

Kira-kira pukul 9.50 pagi, ana dan adik sudah sampai di bawah. Ana sangat bersyukur kerana berpeluang untuk menikmati keindahan alam di sini. Memang sangat berpuas hati kerana aktiviti ini meningkatkan kekuatan kaki dan memang sangat mengeluarkan peluh. Aktiviti mendaki ini memang sesuai untuk pemuda-pemudi yang hendak menguruskan badan dan meningkatkan ketahanan otot kaki. Semoga ana dapat datang lagi, untuk mendaki buat sekelian kalinya.



Friday, February 10, 2012

Ya Muallimah..








Bismillahirrahmanirrahim..
Kupanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Ilahi, kerana ditempatkan di Sekolah Jalan Bukit 1, untuk mengajar pada pertengahan Januari lalu.Sebuah sekolah kecil yang terletak di tengah-tengah pekan Kajang dan berkongsi kebanyakan kemudahan dengan SK Jalan Bukit 2. Dua sekolah dalam satu pagar yang berkongsi pintu pagar,padang,dan kantin.
Sekolah yang mempunyai murid berbilang bangsa,dan sesetengah murid mengunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pertuturan mereka.Ana diberikan tugasan mengajar Sains,Pendidikan Moral, Pendidikan Jasmani, Pendidikan Muzik. Ana terima semua tugas ni dengan hati yang redha. Di samping perlu menjadi Ketua Panitia Muzik dan Ketua Panitia Moral. Semoga ana dapat menjalankan tugasan dengan baik.Kerana Allah semata-mata.
Di sini, kalimah assalamualaikum kurang didengari,kerana kebanyakan murid akan menyebut selamat sejahtera. Sekiranya guru memberikan salam, murid muslim akan menjawab dengan waalaikumussalam ya Muallimah. Kalimah ini sungguh menyejukkan hati ana. "Muallimah" bermaksud pendidik bagi perempuan. Ya,kamilah pendidik kalian untuk menjadi manusia berguna kepada agama,bangsa dan negara. Taatilah guru,hindari kemarahan guru kerana di situlah terletaknya keberkatan ilmu.
Dalam kebanyakan kelas, ana berasa lebih mudah mengajar murid tahap dua yang lebih mengerti apabila dimarahi,disayangi,atau dikritik. Tetapi,cabaran sebagai seorang guru baru bermula apabila ana diberikan tugasan untuk mengajar Pendidikan Moral dan Bahasa Melayu bagi murid Tahun 1. Walaupun baru melangkahkan kaki ke Tahun 1,mereka bertutur dalam Bahasa Ingggeris,walaupun dalam kelas Bahasa Melayu.Murid cilik ini, tidak mengerti jika dimarahi ataupun ditinggikan suara. Pandangan mereka sungguh satu dan kelihatan sangat kasihan.Sesetengah mereka datang daripada rumah kebajikan kanak-kanak,disebabkan keretakan rumah tangga ibu bapa mereka.Namun, ini merupakan tanggungjawab guru memberikan perhatian dan kasih sayang yang tidak mereka perolehi di rumah.
Hari demi hari, ana semakin mengenali karakter setiap murid, iaitu Christoper, Brayan, Pravin, Darvin, Armanda, Swarlantha,Manisha. Walaupun, hanya tujuh orang murid dalam subjek ini, namun setiap kali tamat kelas,ana pasti rasa tekak ni perit je, dan dah kehabisan tenaga. Semua masing-masing sibuk berjalan dan mengusik kawan-kawan. Berulang kali disuruh untuk kembali ke tempat masing-masing. Tetapi,semua buat tidak endah,seolah-olah tidak memahami arahan yang diberikan. Semoga ana terus dikurniakan kesabaran mendidik murid-murid ni.
Setakat ni,ana cuba menggunakan kaedah token untuk memberikan ganjaran kepada mereka yang berkelakuan baik sepanjang p&p berlangsung. Pada hari ini, dua murid diberikan token kerana menyiapkan kerja rumah dan berkelakuan baik. Murid yang mendapat token terbanyak akan menerima hadiah daripada cikgu. Semoga,kali ini ana dapat mengawal disiplin mereka dengan lebih baik.

"Ya Allah,semoga engkau lembutkan hati anak-anak muridku untuk memahami apa yang diajarkan dan lembutkan hati mereka dengan cahaya petunjukMu.Aku tidak terdaya melainkan segala kudrat yang telah kau berikan kepadaku.Kurniakan kecemerlangan kepada mereka dunia dan akhirat.." Amiin..

Ana akan memanjatkan doa ini dalam setiap solat. Sekarang barulah ana mengerti perasaan menjadi seorang guru yang perlu mengawal 30 anak murid dalam satu masa. Seorang ibu pun tidak dapat melayan 4-5 orang anaknya dalam satu masa, apatah lagi seorang guru yang perlu bersikap proaktif memastikan 30-40 orang anak muridnya dapat dikawal disiplin dan menjadi manusia berguna.

Terima kasih mak dan ayah yang juga seorang guru. Pasti mak dan ayah bersusah payah mendidik anak bangsa di samping membesarkan kami dengan ilmu-ilmu duniawi dan ukhrawi. Ana harapkan untuk mencontohi kegigihan mak dan ayah. Teringat kata-kata mak.."hanya ilmu harta yang mak akan tinggalkan untuk anak-anak,kalau hilang ilmu di dada, tiada siapa lagi akan menjaga kita.."..

Monday, January 9, 2012

Seindah Mawar Berduri


Pesanan buat wanita di luar sana...Kita adalah mawar..Kembang mewangi di taman larangan Allah..Dia titipkan duri buat benteng diri..Jadi,jangan campakkan duri itu sayang..Kerna duri itu buat kau anggun dan menawan..Kerna duri itu penyelamat dan pelindung..Mengangkat darjat wanita muslimah mukminah..

Kaulah mawar idaman
Tumbuhmu di taman larangan
Mekarmu dipagari dan dibajai ketakwaan
Sesuci hatimu, seindah akhlakmu
Diciptakan sebagai seorang wanita
Mewarisi kelembutan wanita solehah

Kembangmu tetap indah
Walau cuma di taman larangan
Menyinarkan nur keimanan
Nan mekar dihiasi mahmudah
Seindah Mawar Berduri


Coretan dari risalah qudwah


Thursday, December 15, 2011

MaaFkan Daku


Maaf
Aku sering mengecewakan..
Pada hati-hati yang sentiasa mengharapkan..
Aku lemah di sini..
Aku goyah..
Menunggu waktu..
Antara dua..Bangkit..atau rebah..


Maaf..
Aku sering menjanjikan..
Walaupun aku tidak pasti..
Kerana segalanya di genggaman Ilahi..
Aku kerdil..
Aku bukan pendusta..
Yang hanya menaburkan janji-janji palsu..

Maaf..
Aku tidak bena..
Menjadi tongkat harapan..
Kerana aku bukanlah terbaik..
Benar..
Banyak kekurangannya..
Tidak terbilang kelompongannya..


Maaf..
Berikan aku waktu..
Membina tembok kekuatan..
Untuk melalui hari-hari mendatang..
Mengatasi kelemahan..
Menurap kekurangan..
Dengan izin Allah..


Ya Allah..
Jika ini ketentuanMu..
Aku reda dengan segala ujian..
Aku terima segala pemberianMu..
Dengan lafaz syukur..
Berilah daku pengakhiran yang baik..
Maafkan daku..


Saturday, December 10, 2011

aDA LEsEn..?


Belajar memandu merupakan pengalaman yang indah. Ana belajar memandu selepas SPM dan alhamdulillah lulus lesen JPJ motor dan kereta sekaligus. Antara memandu kereta dan menunggang, ana agak trauma kalau menunggang motor.Nak tau kenapa..?Sebab beberapa pengalaman yang 'best' yang membuatkan ana xkan lupa sampai bila2.
Pengalaman pertama adalah ketika tahun 1, ketika terasa syok bersandar pada sebuah motor di perkarangan rumah pak cik, tiba-tiba ja motor tu jatuh menghempap diri yang kerdil ni.Huhu.Sakit kot.Tetapi, buat2 gagah jugak alihkan motor tu dengan tangan yang kecil lagi. [^.^]..

Pengalaman kedua pula ketika form 4, accident motor bersama ayah. Ini bukan accident atas jalan raya. Tetapi, accident dalam sungai. Takde sapa langgar pun, sendiri yang terjun dalam sungai tu.Hurm malu pun ada,lucu pun ada. Malu sebab time tu, ramai jugak orang kampung datang kerumun, nak tengok sapa yang 'cemerkap' bawa motor. Lucu, sebab jatuh dalam sungai dengan berpakaian baju kurung lengkap kasut sekolah, siap helmet lagi. Memang Allah panjangkan umur lagi, sebab sungai tu agak dalam, dan ana pula keras macam batu ja sebab tak reti berenang.Alhamdulillah.Ada lori kosong lalu, dan tumpangkan ana dan motor tu pulang ke rumah. Esok tu, terus ayah bawa ana ke tempat kejadian, dan bawa lagi motor kat kawasan sungai tu. Aduhai, gementar lutut ni sebab takut jatuh sungai lagi. Tapi, ada sebab ayah buat mcmtu. Untuk lawan rasa takut bawa motor lagi. (",)
Kemudian, time belajar menunggang kat litar pun, ada buat hal juga. Ana pernah beberapa kali jatuh motor kat titi dalam litar tu. Ada satu ketika, sebab tersilap langkah, maka tayar motor tak dapat seimbang atas titi. Maka, motor tu pun terbalik. huhu. Ana pun jatuh sekali. Petugas-petugas kat litar berlari anak datang tengok ana. Risau kot-kot ada cedera kata mana-mana. Alhamdulillah,nasib baik tak cedera teruk.
Pengalaman lain, ketika mula-mula mendaftar kat kampus. Walaupun dah lama ada lesen motor, tapi tetap penakut nak bawa motor. Tapi, satu hari tu, ana tertinggal tugasan penting kat asrama. Jadi, memberanikan diri juga untuk pinjam motor kawan dan pulang ke asrama. Kali ni, bawa roomate ana sekali. Tetapi, malang tak berbau, sampai je dekat kawasan bukit, tiba-tiba motor mati enjin pulak. Gabra punya pasal, maka ana pun terberhentikan motor tu kat tengah2 jalan yang agak berbukit tu. Maka,kami pun terjatuhkan motor kat tepi jalan tu. Nak start motor tak de tenaga dah.Jadi kami pun tolak lah motor tu untuk sampai ke tanah yang lebih rata. Rupanya,ada banyak lagi mata yang menyaksikan kejadian tu. Di bawah bukit tu, rupanya ada satu kelas pelatih yang tengah buat aktiviti kat padang. Ya, Allah malu lagi. Roomate pun menangis sebab malu. Sakit dah tak jadi hal lagi.
Kesimpulannya, setiap orang mesti ada pengalaman masing-masing ketika memandu atau menunggang motorsikal. Walaupun, nampak macam senang, tetapi tetap memerlukan kemahiran untuk mengendalikannya. Nasihat ana, cubalah fahami ahli keluarga ataupun orang terdekat anda, yang mengelak untuk memandu atau menunggang motorsikal. Mereka pasti mempunyai sebab-sebab tersendiri. Walaubagaimanapun, berusahalah untuk membawa kenderaan sendiri. Sebab kita tak selamanya akan bergantung kepada orang lain. Terutamanya wanita, walaupun sudah bersuami, perlu ada lesen memandu. Sebab, si suami takkan selamanya berada di sisi anda. Bagi ana, lesen memandu bukanlah satu kehendak pada zaman sekarang. Bahkan ia adalah satu kePERLUan penting. Oleh itu, sesiapa yang belum ada lesen, cepat bertindak untuk belajar memandu. Selamat Maju Jaya ya..!

Monday, November 7, 2011

Inheritance of I-M-A-N



Jika diperhatikan di sekeliling kita, banyak perkara yang yang janggal berlaku. Perkara ini tidak salah, tetapi disebabkan ia berkuantiti sedikit menyebabkan ia kelihatan pelik di mata manusia. Disebabkan hal ini juga,menyebabkan orang yang berada dalam kelompok ini turut merasakan tekanan kerana menjadi perhatian dan tumpuan orang.

Dahulu, isu anak pukul ibu jarang-jarang kita dengar. Bagaimana pula sekarang? Sekali-sekala kita akan terbaca isu ini di dada akhbar kan. Perkara seperti ini sudah tidak janggal lagi pada zaman serba canggih ini. Bagaimana pula isu anak pak Imam menangi anugerah 'Ratu Cantik'? Isu anak penagih dadah menamatkan pengajian di Darul Quran? Adakah ianya isu biasa?Pada pendapat ana,inilah yang dikatakan isu yang jarang kita dengar. Cerita sebegini ada berlaku di kalangan kita. Tetapi ia jarang-jarang berlaku.

Ana nak mengaitkan post kali ini berkaitan dengan iman. Mari kita buka minda dengan melihat kepada persoalan, adakah iman dapat diwarisi? Sekiranya,anak-anak dapat mewarisi genetik ibu bapa dari segi warna kulit,ketinggian, IQ, dan warna mata. Dan seandainya,anak-anak mendapat bahagian daripada harta warisan ibu bapa. Maka, bagaimana pula dengan iman?

Iman bukanlah satu perkara yang tetap dalam hati manusia. Ia sentiasa naik dan turun seiring dengan suasana di sekeliling individu tersebut. Jika kita mengatakan bahawa anak-anak yang dilahirkan oleh seorang artis hiburan akan mewarisi ibu bapanya, maka kita adalah silap. Kita tidak tahu masa depan anak tersebut. Mungkin Allah telah memilihnya untuk mendapat petunjuk islam. Kita renungkan kembali,ada anak artis, yang tidak memilih laluan kerjaya orang tuanya. Tetapi memilih bidang agama sebagai masa depannya. Kemudian, dia berperanan memujuk dan mempengaruhi orang tuanya untuk kembali mendekati agama Islam yang unggul. Lihat, bagaimana indahnya percaturan Allah. Sesungguhnya Allah Maha Adil. Dia tidak membiarkan hambaNya sesat selamanya,malahan diberikan pelbagai wasilah kepada insan ini untuk kembali kepadaNya.

Ingat percaturan Allah tidak dapat dijangka oleh akal cetek manusia..!

Bagaimana pula dengan pasangan yang menjalinkan ikatan pernikahan dengan cara islam. Menggunakan orang tengah sebagai pengantara yang mengikat hubungan suci mengikut landasan islam. Mereka juga mengamalkan cara hidup islam dalam semua aspek kehidupan. Kemudian,Allah mengurniakan keduanya zuriat yang meramaikan umat Nabi Muhammad s.a.w. Tetapi zuriat yang dilahirkan membesar dengan cara hidup yang berbeza dan meyimpang dari cara hidup kedua ibu bapanya. Adakah ini salah didikan orang tuanya? Pasti logik akal kita mengatakan tidak. Ya, Allah telah memilih anak ini menjadi begini, sebagai ujian kepada orang tuanya. Tidak beriman seseorang ,sebelum dia diuji dengan ujian yang sesuai dengan kesanggupannya. Sebab itu kita dengar, anak ustaz dan ustazah yang paling dashyat perangainya sama ada di sekolah ataupun kolej pengajian.

Ana mahu menyimpulkan bahawa, iman itu tidak dapat diperturunkan kepada anak-anak mahupun saudara mara. Tetapi, ingat iman itu boleh dibentuk dengan biah yang solehah. Anak-anak ulama kebiasaannya akan mengikuti jejak langkah orang tuanya menjadi orang agama, disebabkan oleh suasana islamik yang dibentuk oleh keluarganya bermula dari alam janin lagi. Jadi nasihat ana, untuk mendapat anak yang soleh, bukan dibentuk semasa anak dilahirkan. Bahkan anak tersebut dibentuk sebelum anaknya dilahirkan lagi. Bagaimana? Buat pemuda carilah isteri yang baik, bagi pemudi carilah suami yang baik..Bagaiman nak mendapat pasangan yang baik..? Perbaikilah diri kalian dahulu..Cermin iman, buahkan takwa..::Assalamualaikum..::