Thursday, January 6, 2011

NeW PerCeptIOn..


Assalamualaikum wbt.. Alhamdulillah, segala puji-pujian bagi Tuhan sekalian alam, yang tidak henti-henti melimpahkan rahmat dan kasih sayangNya. Betapa agungnya rahmat dan kasih sayangMu ya Allah. Ingin ku sujud syukur atas segala-galanya yang Kau anugerahkan kepadaku.

Sempena tahun baharu 2011,ana menarik nafas syukur atas kesempatan menghirup udara di muka bumi Allah,memijak tanah yang subur, melihat pepohon rendang,rama-rama berterbangan riang gembira, merasai kelembutan angin membelai pipi dan yang paling utama dapat merasai kesyahduan bertemu denganMu di setiap kali dahiku sujud mencecah tanah.

Tetapi dalam kesyukuran yang berpanjangan, kadangkala hati lalai padaNya.Kaki tersalah langkah dan mulut tersalah berbicara. Tetapi keampunan Allah itu besar. Lebih luas dari dosa-dosa hambaNya. Kadang-kadang,diri ini mengutuk nafsu dan mencerca keinginan duniawi yang melampaui batas. Tetapi akal hilang pertimbangan dan hanya membuntuti hawa nafsu seperti lembu dicucuk hidungnya. Jadi,gunakan sabun istighfar dalam setiap kali membersihkan diri dari daki-daki dosa yang tidak henti-henti melekap pada tubuh.

Pengalaman lalu,banyak mengajar untuk berhati-hati dalam meniti arus kehidupan. Sudah lumrah kehidupan,manusia yang baik pasti akan dianiayai dan dizalimi. Diambil kesempatan atas kebaikan ataupun kekuranganNya. Jangan lupa, Allah itu Maha Adil, setiap apa yang dilakukan pasti ada pembalasanNya. Jadi, serahkan segala urusan tersebut kepada Allah. Pasti Allah memberikan keadilan kepada kita. Terima kasih kerana menzalimiku,terima kasih kerana menganiayai diriku dan terima kasih kerana mengambil kesempatan atas diri yang kerdil ini. Ana tahu di sisi kita ada yang lebih mengetahui apa yang berlaku dan lebih berkuasa mengatur segalanya. Sekarang,ana lebih berhati-hati kerana dunia ini rupanya palsu belaka. Senyuman palsu, hubungan palsu, perasaan yang palsu dan sebagainya. Hanya mata hati yang dapat membuka hijab untuk melihat perkara yang tulen.

Apa yang dilhat tidak sama dengan apa yang tersirat. Cuma pesan ana pada sahabat-sahabat berhati-hatilah dengan segala kemungkinan. Ummat Islam yang bijak tidak akan jatuh ke dalam lubang yang sama dua kali. Berjimat cermat sebelum papa kedana,beringat-ingat sebelum terkena. Dan jangan cuba makan cili,jika tidak sanggup menahan kepedasannya.

Okay,sekarang buka topik baru pulak..Kalian semua percaya tak pada keberkatan? Seperti dalam kisah 'Dunia Baru', mak kepada Piarre Andre selalu mengungkapkan perkataan kaf, ba, ra, ta , nun.. KEBERKATAN..Setiap perkara yang dilakukan perlu ada keberkatan. Bagaimana nak dapatkan keberkatan? Salah satu contoh dalam situasi kehidupan, ungkapan bismillah dalam setiap pekerjaan yang dilakukan pasti akan beroleh keberkatan dari Allah. Macam mana nak tau berkat ke tak? Misalnya, kalau Si A mengulangkaji dalam masa sejam sahaja,dia dah dapat memahami keseluruhan topik dengan baik sekali,padahal si B mengambil masa berjam-jam malah berhari-hari untuk memahami topik tersebut Ini bukan soal pandai ke tak pandai, tetapi soal keberkatan masa yang Allah anugerahkan kepada Si A tersebut. Setiap orang dianugerahkan masa yang sangat cantik,24 jam seorang. Tetapi, tak semua orang merasakan 24 jam tu cukup untuk mereka. Manakala ada orang merasakan 24 jam terlalu lama. Macam mana tuh?

Begitu juga dengan setiap amal perbuatan kita yang lain. Misalnya, ana ambil contoh bagi kaum muslimat yang sentiasa memerah keringat di dapur untuk menyediakan makanan dan minuman kepada keluarga tersayang. Adakah makanan yang disediakan berkat? Makanan yang berkat sentiasa disebut-sebut nama Allah dan sentiasa dibacakan selawat agar ahli keluarga yang makan makanan tersebut sentiasa dilimpahi Nur daripadaNya. Bagaimana nak harapkan keluarga yang harmoni dan bahagia jika makanan tersebut tidak dimulai dengan basmallah. Tambahan pula, orang yang menyediakan makanan tersebut melakukan maksiat kepada Allah. Gantikanlah nyanyian-nyanyian (dangdut ke, rock ke, kalsik nasional ke) yang berkumandang kat dapur dengan pujian dan selawat yang lebih memberkati hidup kita dan ahli keluarga. Dan niatkanlah setiap butir nasi yang ditanak dapat membantu memberi tenaga kepada kita untuk menjalankan ketaatan kepada Allah.

Bagaimana pula dengan muslimin? Sambil-sambil mengecat dinding rumah di kala kenduri menjelang, ataupun mengetuk paku di dinding, ataupun mencangkul rumput di halaman..jangan lupa amalkan zikir dan selawat yang pasti membawa keberkatan dalam setiap amalan harian kita.Orang yang sentiasa mengingati Allah sekali, maka Allah akan mengingatinya beribu-ribu kali kerana selangkah kita dengan Pencipta, seribu langkah Allah 'berlari mendapatkan kita'.Betapa beruntungnya jika kita rahmat dan kasih sayangNya.

Kesimpulannya,umur semakin bertambah.Jadi persepsi kita terhadap alam sekeliling perlu berubah sering dengan kematangan pengalaman dan pengetahuan yang kita timba selama ini. Hiduplah dengan menyumbang apa-apa kerana, dunia adalah ladang sebelum ke akhirat. Kalau tidak menanam dari sekarang,apa yang kita akan petik di akhirat nanti? Kalau banyak menanam pula, jangan diletakkan banyak racun dan serangga perosak( penyakit riak dan takbur) takut rosak hasilnya nanti. Fahamilah dan mengertilah..!



Saturday, December 4, 2010

HIBURAN vs PENGISIAN ROHANI




C.U.T.I...hanya terdiri daripada empat huruf namun, memberi impak yang begitu besar..menggembirakan..menyemarakkan semangat..menenangkan..ibarat memberi sepinggan mee goreng panas kepada seorang yang sedang kebuluran(hehe, betul ke perumpamaan ni)..Tapi,bagaimana kita mengisi waktu cuti,waktu lapang,waktu senggang?
"Saya nak khatam citer korea..".."Saya nak keja,cari duit sket..".."Saya nak tolong mak ayah di rumah"..."Saya nak tidur sepuas-puasnya..haha(ketawa jahat).."Saya nak tambah pengetahuan,mungkin nak tadah kitab" (alhamdulillah,sejuk hati mdgarnya).. dan bermacam-macam jawapan dan pengisian yang dirancang sepanjang cuti..Tapi, apa pun rancangan kita, nilailah kembali, apakah perancangan tersebut bermanfaat mahupun merosakkan kita.

Kaca televisyen, memang berperanan penting untuk mengisi masa terluang. "Tutup t.v tu, bukannya boleh teman hangpa sampai ke kubur.." Itu merupakan antara kata-kata mak yang sungguh sinis. Kata-kata ni sering diungkapkn disebabkan kelekaan kami adik beradik menonton tv, sehingga mengabaikan segala kerja-kerja yang lebih penting. Betul..tv hanyalah sebuah peti biasa,tetapi ia sangat luar biasa sehingga mampu meracuni@mendoktrin pemikiran jika tersalah pilih.
T.V menjadi punca anak-anak muda mengagungkan hiburan,melengahkan solat,menambahkan titik hitam di hati kerana dosa-dosa melihat artis berpakaian terdedah aurat, melalaikan hati mengingati Allah,dan_______________(isi sendiri lah,anda lebih tahu)..hehe..Sehinggakan,ana merasakan lebih baik hidup tanpa t.v.Anda setuju tak?Kalau setuju angkat kening ye..![^_^]

Ana ambil contoh bagi anak-anak yang tinggal di asrama sekolah ana,mereka hanya dibenarkan menonton t.v di hujung minggu sahaja. Tambahan pula, rancangan tersebut mestilah sesuai dengan kredibiliti sebagai murid sekolah agama( maksudnya, nasyid, ceramah dan seupamanya)..namun kadang2, akak senior curi-curi jgak tengok cerita drama dan telenovela..
Ini, menunjukkan sekolah asrama sangat mengawal maklumat dan hiburan melalaikan daripada terus menyelimuti kehidupan pelajar-pelajar yang masih suci,dan memerlukan bimbingan..

Ana teringat,satu ketika ustaz pernah memotong wayar televisyen di asrama kami. Ketika itu,episod terakhir bagi sebuah cerita Melayu akan ditayangkan. Perkara ni berlaku,disebabkan kedegilan kakak senior yang bertegas mahu menonton rancangan tersebut,walaupun dilarang.Maka,ustaz pun menunjukkan kekuasaanya dgn memotong wayar tv,dah la tv baru.Nah,padan muka semua. Dah tak dak sapa boleh tengok tv lagi.huhu.


Okay,sekarang masing-masing dah dewasa.Pakat pandai pegang remote tv kan..?So,apa channel yg anda pilih ye..Boleh kita kongsi sama-sama..?Em..xpela, tak perlu bagitau kat sini..Kita ada hak untuk memilih rancangan tv yang terbaik. Sempena cuti sekolah,bila berkesempatan menonton, pilihlah rancangan yang bermanfaat utk kita dan keluarga..Contohnya mcam: __________ (sila isi tempat kosong)..(",).....


Baru sebentar tadi,ana ada tersaksikan sebuah rancangan hiburan daripada golongan kurang upaya. Masyaallah,mereka sangat hebat.Walaupun, tidak dikurniakan penglihatan yang sempurna,kecerdikan yang sempurna,anggota tubuh badan yang tidak cukup sifat, namun..Allah anugerahkan bakat suara yang sungguh merdu..Tetapi,adakah betul jalan yang mereka pilih..Kenapa suara tersebut tidak digunakan untuk mengalunkan ayat-ayat suci Allah..Sedih dan kesal diri ini mengenangkan golongan seperti mereka kononnya diangkat sama tinggi dengan golongan normal lain, dengan memberi ruang kepada mereka untuk mengetengahkan bakat mereka..Silap..anda silap besar jika memikirkan dengan memberi pentas kepada mereka untuk mendendangkan lagu adalah untuk mengangkat martabat mereka..


Hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Auf ra bahwa Rasulullah Saw bersabda: “Sesungguhnya aku dilarang dari suara yang hina dan sesat, yaitu: 1. Alunan suara nyanyian yang melalaikan dengan iringan seruling syaitan (mazamirus syaithan). 2. Ratapan seorang ketika mendapat musibah sehingga menampar wajahnya sendiri dan merobek pakaiannya dengan ratapan syetan (rannatus syaithan).


Tidak salah berhibur,asal kena dan mengikut cara Islam. Tetapi, kebanyakan hiburan sekarang sangat jauh dan menyimpang dari Islam. Mendedahkan aurat,bergaul lelaki dan wanita,lagu yang mengasyikkan dan melalaikan hati, sehinggakan mengabaikan perintah-perintah wajib termasuklah solat (misalnya melewat-lewatkan solat). Hiburan yang berlebihan melemahkan iman dan hati. Jadi bersederhanalah dalam berhibur,dan bijak mencari hiburan yang bermanfaat.Sebaliknya, gantikan program hiburan dengan pengisian-pengisian rohani yang lebih mendamaikan dan menenangkan jiwa.

Saturday, November 20, 2010

PeRsOaLaN JiWaKu



Diri ini bingung,pening,keliru..Ke mana hala tuju ku? Mengapa tuhan mencipta kan aku?Kenapa aku harus dilahirkan ke dunia? Mengapa adanya syurga dan neraka?Mengapa lidah manusia akan dikerat di neraka?Mengapa manusia akan berenang di dalam lautan air liur?
Ketika berusia 5 tahun,pada satu malam, aku bermimpi , aku terlihat syurga dan neraka.Aku terlihat satu titian yang panjang. Kemudian,aku ditertawakan oleh sebab aku banyak dosa dan tak layak untuk masuk syurga Allah. Sebaik sahaja aku terjaga,aku menangis kerana tidak dapat masuk syurga. Aku juga takut untuk tidur kerana takutkan neraka Allah. Semua ini gara-gara perasaan ingin tahuku menelaah kitab-kitab agama ibuku yang mempersoalkan tentang azab kubur dan syurga neraka. Sehinggakan,aku tidur ditemani bapaku, kerana ketakutan ku terhadap siksaan neraka.

Adakah tuhan tidak sayangkan ummatnya kerana menyediakan neraka yang menyala-nyala. Kenapa nabi diwafatkan awal? Aku tidak sempat melihat wajahmu. Bagaimana rupa Nabi Muhammad s.a.w.Aku ingin melihat sahabat-sahabat nabi, yang sama-sama memperjuangkan Islam bersama baginda.

Dari mana asalnya aku sebelum aku dilahirkan?Di manakah Allah berada?Adakah Allah melihat dan mendengar segala-galanya?Bagaimanakah Allah menjadikan hujan? Apa yang ada sebelum dunia dijadikan?

Kenapa kita kena solat?Adakah semua makhluk akan mati nanti? Kalau mati,ke mana kita akan pergi?Aku juga pernah bermimpi merasai pengalaman diusung dengan keranda, dan dikebumikan. Cuma menunggu saat untuk disoal oleh malaikat maut. Sebaik sahaja terjaga, aku merasakan seperti diberikan nyawa semula oleh Allah untuk beribadat kepadaNya. Ketika itu hanya Allah yang tahu perasaan berdebar-debar dan sebak dengan 'peluang kedua'yang dikurniakan kepadaku.Hatiku turut berdetik,hari kiamat bila? Apa akan berlaku pada hari kiamat? Bahkan setiap kali menjelang jumaat aku akan menangis kerana aku risau hari jumaat adalah hari kiamat.

Sebenarnya,semua persoalan di atas merupakan sebahagian persoalan yang terdetik ketika mana aku meniti usia kanak-kanak seawal 5 tahun untuk mengenali Sang Pencipta. Tetapi, ahamdulillah segalanya terjawab satu demi satu apabila aku meningkat remaja. Dengan segala persoalan yang timbul, yang asalnya datang dari Allah tetapi diberikan ilham kepadaku untuk memikirkan kebesaran dan keagungannya, aku mulai kagum dengan kehebatan pencipta. Oleh itu, teruskan berfikir menilai dan merenung kejadian penciptaan Tuhan. Akal yang sering berfikir tidak akan beku dan kering dengan idea. Bahkan manusia yang banyak berfikir adalah manusia yang menggunakan keupayaan akalnya semaksima mungkin.Alhamdulillah,aku terpilih untuk mengimani Islam, satu-satunya agama yang diredhaiMu. Kekalkanlah aku di dalam keimanan dan ketaatan kepadaMu ya Allah.Ameen..

Monday, November 8, 2010

DARKNESS


Apakah 'darkness'?

Ia adalah satu kegelapan yang ditafsirkan dalam pelbagai sudut dan aspek. Dari segi luaran kegelapan berlaku kerana tiada sumber cahaya. Apakah sumber cahaya?Ya,tepat sekali matahari dan bulan merupakan sumber cahaya yang utama. Apa akan berlaku kalau manusia berada dalam kegelapan?Pasti manusia akan teraba-raba kerana hilang punca dan arah panduan.

Di sini, ana hanya ingin membicarakan tentang kegelapan yang dipadang sebelah mata je oleh rakyat sekalian.Apa ye?emm....iaitu kegelapan hati. Camna nak tahu hati gelap ke cerah ke?Sedangkan kita memang tak nampak warna hati kita. Jadi jom cek hati masing-masing.

Dalam diri anak Adam itu ada seketul daging, kalau baik daging itu maka baiklah manusia, kalau ia rosak maka rosaklah manusia. Ketahuilah itulah hati .”
(Riwayat Bukhari dan Muslim dari Nukman bin Basyir)

Perumpamaan hati kita adalah seperti mentol yang bersinar terang. Diandaikan setiap kali dosa yang dilakukan akan melekat satu titik hitam pada hati. Bayangkan jika kita berbuat dosa kecil ataupun besar setiap hari, apakah akan berlaku kepada mentol tersebut? Debu-debu dosa terus melekat pada mentol dan lama-kelamaan debu tersebut akan menjadi tebal sehingga menutupi cahaya yang dipancarkan oleh mentol. Hasilnya,mentol tersebut sudah tidak bermanfaat untuk menerangi manusia ketika kegelapan.


Jadi apa tindakan kita? Sedangkan tubuh badan kita dibersihkan setiap hari, apatah lagi hati yang setia berbuat dosa kemaksiatan tanpa jemu. Apabila hati sudah kotor,semua dosa dan pahala dirasakan sama sahaja. Mari bersihkan hati dengan beristighfar dan bertaubat nasuha kepada Allah.Kadang-kadang doa tidak terhijab disebabkan dosa kita.Fikirkan saudara, bagaimana Allah hendak mengabulkan permintaan kita sedangkan setiap hari kita tegar melakukan dosa dan berpaling ketaatan daripadaNya.

Hati gelap membutakan pemiliknya daripada segala perkara hak. Dia merasakan semua yang dilakukan adalah betul belaka, malah kebatilan yang berleluasa dirasakan tidak ada apa-apa(no sense la), tiada perasaan marah dan benci ketika melihat perkara maksiat. Malah hati yang gelap diibaratkan hati yang keras dari menerima segala nasihat dan teguran.Sesungguhnya,hati orang yang beriman itu, sentiasa bergetar apabila nama Allah disebut disebabkan ketakwaan mereka kepadaNya. Tetapi, bagaimana dengan kita? Apa perasaamn kita tatkala mendengar masyarakat Islam di Kemboja ditindas,apakah kita hanya simpati melihat rakyat Palestin syahid bergelimpangan dek senjata berteknologi kuffar?apakah kita hanya menggeleng kepala melihat ummat Islam di Malaysia yang lagha dengan aksi dan adengan cinta Laila dan Majnun? Em..apa kata hati kita ya? Kalau hati masih suam-suma kuku,bermaksud hati kita sudah mulai gelap. Kenapa gelap ye? Gelap disebabkan dosa-dosa yang dilakukan oleh seluruh anggota badan kita sehari-ke sehari.

Solusinya, beristighfarlah..bertaubatlah..kerana pintu taubat masih terbuka sehingga nyawa sampai ke kerongkong. Allah Maha Pengampun, walau seluas alam semesta dosa kita lakukan,tetapi jika kita taubat nasuha (sebenar-benar taubat) maka terhapuslah segala dosa anak Adam dengan keizinanNya. Sucikan hati dari kegelapan dosa-dosa yang dilakukan dengan sedar mahupun tanpa sedar. Dan jangan lupa bahawa dosa sesama manusia juga tidak akan langsai sekiranya kita tidak memohon maaf daripada tuan empunya diri. Janganlah menjadi orang yang benar-benar rugi,iaitu..di akhirat dia terpaksa memberikan segala amal pahalanya kepada orang yang dizalimi dan silap-silap haribulan, terpaksa memikul beban dosa manusia lain kerana kekurangan pahala amalan untuk ditukar ganti.


Astarghfirullah hal azim..
Dari hamba Allah yang benar-benar hina..



Saturday, November 6, 2010

Sapa punyer ni?


Cuba senaraikan segala apa barangan milik anda..Dalam masa seminit je...Cepat..









Okay,masa dah tamat..
Ana cuba senaraikan barang ana dulu ye.
Hak Milik Hamizah:
1) laptop
2)pakaian
3)duit di bank
4)mak,ayah dan adik beradik, saudara-mara
5)pendidikan (insyaallah degree pasni)
6)rakan dan sahabat
7)anggota badan yang sempurna
8)akal yang sihat
9)makanan(banyak stok lagi)
10)tempat tinggal yang selesa
11)dan infiniti

Emm,jap-jap.tapi semua tu bukan milik ana.Walaupun ada segala-galanya,tapi semua bukan hak mutlak ana. Itu hanyalah pinjaman yang Allah beri kepada ana. Kesimpulannya, ana memang tak punyai apa-apa di dunia ini.Serius,memang ana xde apa-apa pun. Okay tukar-tukar yang baru.

Hak Milik Hamizah :
1) tak punya apa-apa
2)dipinjamkan oleh Allah ke dunia fana untuk diuji ketaatan dan kehambaannya
3)bila-bila masa boleh diambil semula oleh pemilikNya


Anda setuju dengan ana?Anda pula bagaimana?Apa pula hak milik anda, boleh kongsi dengan ana.Adakah anda punya hak untuk berkata :

1) Ni body aku , ikut suka aku la nak buat apa pun

Astarghfirullah,fikir semula.adakah tubuh badan anda adalah hak milik anda? kena begitu lantang hendak mencabar pemilik badan anda? pakailah pakaian yang mengikut ketetapan Allah. Tutuplah sebahagian dari anggota badan kita mengikut ketetapan Allah. Ingat rambut kita,kaki dan lengan perlu ditutup, kerana itu adalah milik Allah.
Kita perlu menjaga sebaiknya tubuh badan yang Allah anugerahkan seperti mengubati ketika tubuh badan sakit, membersihkan tubuh badan, memilih makanan yang berkhasiat untuk tubuh. Tetapi kita tiada hak untuk berbuat sesuka hati yang melanggar syariatNya. Mewarnakan rambut adalah seperti kita telah menzalimi anggota badan yang dikurniakan. Kesiankan rambut tu.Isy, isy..

2) Ni awek aku,aku boleh buat apa je yang aku suka

Betulkah kenyataan ni?Sombongnya si pakwe dia ni.Oh,sebab tu la,kebanyakan pasangan kekasih bisa melakukan apa sahaja kerana merasakan bahawa, kekasih adalah miliknya.Malah,biasa keluar berdua-duan dan melangar segala syariat kerana merasakan itu adalah hak privasinya. Beristighfarlah kawan-kawan. Awek atau pakwe yang bisa keluar bersama kita juga adalah hak milik Allah. Kenapa kita perlu ingkar dengan suruhannya?

3)Aku nak cukur kening kat muka ni,barulah cun sikit.
Adakah kening itu milik anda?Tidak kening itu milik yang Maha Pencipta. Dia telah mengaturkan manusia sebagai sebaik-baik kejadian di atas muka bumi ini. Kenapa perlu mengubahnya?
Kita terlupa akan satu musuh Allah ini,syaitan yang sentiasa mahu memalingkan kita dari jalanNya yang lurus.

"Sungguh akan kami pengaruhi mereka itu, sehingga mereka mau mengubah ciptaan Allah." (an-Nisa': 119)

4) Duit dalam dompet ni hak milik aku. Nape aku perlu bagi kepada orang lain?

Betulke duit yang ada pada anda adalah hak milik anda?Betul?Cuba renung-renung kembali. Segala harta dan duit yang dikurniakan kepada kita bukan hak milik mutlak kita. Allah boleh mengambilnya bila-bila masa sahaja. Jangan terkejut kalau tiba-tiba kita kehilangan wang milik kita, seperti dicuri atau dirompak. itu sebenarnya peringatan dari Allah bahawa duit itu sebenarnya milikNya dan Dia berhak untuk memberikan kepada sesiapa yang dikehandakiNya.

Kita hanyalah wasilah ataupun saluran yang Allah jadikan untuk memegang duit tersebut. Sebahagian duit tersebut adalah rezeki untuk orang-orang miskin dan tidak berkemampuan. Jadi jika Allah anugerahkan kita rezeki yang mewah,jangan lupa bahawa beberapa peratus rezeki kita adalah hak milik orang lain yang lebih memerlukan. Jadi, latih diri kita bersedekah dan membantu orang yang dalam kesusahan kerana duit kita bukanlah milik kita sepenuhnya.

5) Aku tiada masa untuk program-program ilmiah camtu. Aku sibuk.

Angkuhnya kita jika berkata demikian.Kerana masa lapang juga adalah hak milik Allah yang duanugerahkan kepada kita. Kenapa kita masih berat untuk berkunjung ke rumah Allah, dan menghadiri program-program yang mendekatkan kita kepada pemilik sekalian alam? Allah menganugerahkan masa 24 jam.Ke mana kita bazirkan masa tersebut?Facebook,tidur,game,berbual kosong,melihat laman web yang x sepatutnya,dating?(peringatan untuk diri ana yang lalai jga).
Apa peranan kita, dan di mana masa kita dihabiskan ketika ummat islam melakukan kemungkaran di merata-rata?Adakah kita turut serta menyumbang kemungkaran?ataupun bergoyang kaki, ataupun memikirkan cara untuk mencegahnya? Di akhirat pasti kita akan disoal,apa yang kamu lakukan ketika melihat kemungkaran berleluasa? Sekurang-kurangnya, kita berusaha memikirkan masalah ummat ataupun membenci kemungkaran. Itulah selemah-lemah iman.

Setakat itu dahulu cetusan ringkas dari ana. Mari muhasabah diri. Kita tak punya apa-apa. Tetapi kita sendiri mempunyai tuan atau pemilik, iaitu Allah s.w.t. Kita milik Allah. Ikutilah segala arahan dan syariat yang pemilik kita telah gariskan iaitu al-quran dan as-sunnah.Kita tidak mulia tanpa Islam. Sebaliknya Islam yang memuliakan kita. Jika kita membuang islam dari hidup,upama kita lebih hina dari bangkai yang dihurung lalat dan ulat. Tiada manfaat dan sia-sia!
Wallahualam..




Sunday, October 31, 2010

J.A.U.H




Jauh...Satu perkara yang membawa impresi negatif kepada kita...Tetapi adakah jauh itu baik?Emm, jauhnya nak sampai kedai tu..Jauhnya nak sampai ke penghujung semester..Jauhnya jarak komunikasi kita...Jauhnya jarak persahabatan kita...

Tapi kadang-kadang JAUH mengajar kita pelbagai makna yang tersirat.. Cuba fikirkan..Dengan kejauhan yang kita rasakan, kita akan dianugerahkan rasa rindu..Kemanisan ukhuwwah dibelai dengan kejauhan jarak yang memisahkan..Hebatnya jauh...Bila berdekatan,rasa bosan dan muak mengundang, hingga mengelabui kejernihan nilai persahabatan yang indah..

Bila berJAUHan kita akan merindui yang tersayang..Akan merindui kehangatan belaian ibu..Merindui leteran ibu yang tak berkesudahan..Merindui kepenatan mengemas rumah..Sebaliknya,kita merasakan segala-galanya kepahitan bertukar menjadi manis hanya kerana jarak yang memisahkan...Ajaibkan..!

Kerana JAUHnya waktu yang beredar meninggalkan..kita merasakan manisnya memori silam..walaupun kenangan tersebut sebenarnya perit, tetapi berubah menjadi manis dengan perubahan masa yang berlaku..Misalnya, kenangan dirembat dengan tali pinggang, diikat di pohon berkerengga, dipukul dengan penyangkut baju, diikat dengan tali rafia (ana le tu,mcm x percaya je kan)...segala-galanya menjadi indah bila dikenang-kenang kembali..

Jadi hargai segala-gala yang kita ada,nikmatinya sebelum ia hilang..Fikirkan positif, mengapa kita perlu berjauhan dari keluarga tercinta,mengapa kita perlu berjauhan dengan sahabat seperjuangan,mengapa kita perlu meninggalkan zaman kanak-kanak yang indah ke alam dewasa yang serba mencabar? Kerana kita ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan,amanah yang perlu dilangsaikan.

Diharapkan Allah mengganjari segala usaha kita dan dinilai dengan pahala sebagai saham di akhirat kelak.Jadi jangan merungut apabila masalah menimpa.Nilailah dari sudut yang positif. "You are what you think..!"


Tuesday, October 26, 2010

Malumu Berharga


DARIPADA Abu Said al-Khudri katanya: "Rasulullah SAW adalah seorang yang sangat pemalu, lebih pemalu daripada gadis pingitan. Apabila Baginda tidak menyenangi sesuatu, kami dapat mengetahuinya dari wajah Baginda." (Hadis riwayat Muslim)


Subhanallah,walaupun Nabi Muhammad s.a.w merupakan kaum Adam tetapi Baginda mempunyai rasa malu yang menebal melebihi malunya si dara. Cuba kita renungkan dan cuba lihat di sekeliling kita. Apakah si gadis masih mempunyai rasa malu? Merelakan tubuh kurniaan Ilahi disentuh dan diratah sesuka hati oleh bukan mahram?Menikmati menawannya solekan yang berlebihan dan perhiasan yang melampau (tabarruj)?Membiarkan kelopak bungamu direnggut sang kumbang durjana?

Jangan lupa bahawa dalam setiap insan dianugerahkan satu rasa yang unik, iaitu rasa malu. Ia memainkan peranan yang penting dalam membentengi manusia daripada melakukan kemaksiatan dan kemungkaran serta membakar semarak kemahuan manusia untuk melaksanakan ketaatan kepada pencipta. Hebat bukan,hanya dengan rasa malu dan merasakan ia diperhatikan, manusia terbantut niatnya untuk melaksanakan perkara keji.
Ye,rasa malu menjadi benteng kepada manusia terutamanya muslimat.
Ana nak petik lirik lagu 'Puteriku Sayang' daripada kumpulan 'Hijjaz'

PUTERIKU SAYANG

Lembut mu tak bererti kau mudah dijual beli
Kau mampu menyaingi lelaki dalam berbakti
Lembut bukan hiasan bukan jua kebanggaan
Tapi kau sayap kiri pada suami yang sejati

Disebalik bersih wajah mu disebalik tabir diri mu
Ada rahsia agung tersembunyi dalam diri
Itulah sekeping hati yang takut pada ilahi
Berpegang pada janji mengabdikan diri

Malu mu mahkota yang tidak perlukan singgahsana
Tapi ia berkuasa menjaga diri dan nama
Tiada siapa yang akan boleh merampasnya
Melainkan kau sendiri yang pergi menyerah diri

Ketegasan mu umpama benteng negara dan agama
Dari dirobohkan dan jua dari dibinasakannya
Wahai puteriku sayang kau bunga terpelihara
Mahligai syurga itulah tempatnya

Rasa malu wanita tersangat berharga sehinggakan ia lebih kukuh dan teguh daripada benteng dan tembok duniawi. Jika wanita tidak segan silu menyerahkan maruah diri, bermaksud dia sendiri telah memecahkan benteng kehormatan dirinya. Cuba bayangkan jika si gadis membuka pintu kepada sang pencuri dan menjemputnya masuk ke rumah, "silalah masuk..". Secara logik akalnya,apakah tindakan pencuri tersebut? Peluang mencuri sudah terbuka luas kepadanya. Inilah peluang yang dinanti-nantikannya. Ketika pencuri memulakan langkah merenggut segala harta bernilai di dalam rumahnya,kemudian,barulah si gadis tersedar yang dia sudah menjemput seorang yang tidak diingini ke dalam rumahnya. "tolong,tolong, ada pencuri..!" hehe,memang kelakar bukan? Dia yang menjemput sang pencuri masuk, dan kemudian dia yang kecoh menjerit akan kedatangan pencuri. Adakah manusia akan peduli dengan kesilapannya?Barangkali jiran tetangga hanya mengagak bahawa ia hanyalah satu gurauan untuk tetamu yang dipelawa masuk tadi.


Sebaliknya, bagaimana pencuri hendak menceroboh rumah jika tuan rumah telah mengunci rapat pintu rumah,ditambah lagi dengan penggera keselamatan serta diupah pula pengawal keselamatan yang garang untuk mengawal keselamatan si gadis? Kalian pastinya boleh membezakan dua situasi ini bukan? Situasi yang pertama merujuk kepada wanita yang tiada rasa malu,hingga membiarkan kaum Adam mengambil kesempatan ke atas dirinya. Apabila sudah hampir terlanjur ataupun sudah ditinggalkan baru dia tersedar dari lena.

Berlainan pula dengan situasi yang kedua, di mana si gadis sangat berhati-hati menjaga kehormatan dirinya,tidak bergaul bebas dengan lelaki tanpa sebarang tujuan,tidak berbual kosong dengan ajnabi yang melalaikan,tidak berduaan dengan lelaki tanpa sebarang teman,tidak bisa melembutkan suara yang menggugah naluri lelaki,dan tidak bergelak ketawa dan bertepuk tampar dengan lelaki tanpa rasa malu dan segan. Wanita sebeginilah yang sentiasa menjadikan rasa malu sebagai benteng dirinya daripada membuka pintu segala kemaksiatan.
Ingat muslimat, pada kita ada semangat dan prinsip yang teguh yang perlu dipertahankan! Iaitu maruah diri dan rasa malu. "Tangan wanita yang lembut menghayun buaian mampu untuk mengongcang dunia". Kata-kata Ummu Aiman r.a " Pergilah menenun kain,berikan pedangmu kepadaku" .Kata-kata ini diungkapkan apabila tentera muslimin melarikan diri ketika Perang Uhud. Beliau bersemangat meluru ke medan perang dengan membantu tentera muslimin yang cedera serta memberi minum air. Beliau mengejek sinis kaum lelaki yang melarikan diri daripada medan perang. Begitu hebatnya muslimat pada ketika itu.

Bagaimana pula dengan wanita pada zaman sekarang, ibu yang hebat akan melahirkan zuriat yang hebat dengan izin Allah. Tetapi, bagaimana hendak mengimpikan pemuda-pemudi yang hebat jika ibu dan bapanya sendiri sentiasa mengundang murka Allah? Sebelum terlewat kita koreksi diri. Adakah selama ini kita meletakkan rasa malu sebagai pertahanan diri?Malu kepada Allah kerana berbuat maksiat,malu kepada rasulullah kerana mengabaikan sunnah baginda, malu kepada ajnabi sehingga melahirkan pergaulan bebas tak terjaga, malu kepada diri sendiri kerana menurut hawa nafsu tanpa sedar diri?

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Iman itu mempunyai tujuh puluh cabang atau enam puluh cabang, maka yang paling utama ialah ucapan "Tidak ada Tuhan yang sebenarnya melainkan Allah" dan yang paling rendah ialah membuang duri dari jalan dan sifat malu ialah satu cabang daripada iman." (Hadis riwayat al- Baihaqi)

p/s: tetapi malu perlu kena pada tempatnya.jangan malu berkata perkara yang benar walupun ia pahit.(pesanan untuk diri sendiri ni)