Sunday, October 31, 2010

J.A.U.H




Jauh...Satu perkara yang membawa impresi negatif kepada kita...Tetapi adakah jauh itu baik?Emm, jauhnya nak sampai kedai tu..Jauhnya nak sampai ke penghujung semester..Jauhnya jarak komunikasi kita...Jauhnya jarak persahabatan kita...

Tapi kadang-kadang JAUH mengajar kita pelbagai makna yang tersirat.. Cuba fikirkan..Dengan kejauhan yang kita rasakan, kita akan dianugerahkan rasa rindu..Kemanisan ukhuwwah dibelai dengan kejauhan jarak yang memisahkan..Hebatnya jauh...Bila berdekatan,rasa bosan dan muak mengundang, hingga mengelabui kejernihan nilai persahabatan yang indah..

Bila berJAUHan kita akan merindui yang tersayang..Akan merindui kehangatan belaian ibu..Merindui leteran ibu yang tak berkesudahan..Merindui kepenatan mengemas rumah..Sebaliknya,kita merasakan segala-galanya kepahitan bertukar menjadi manis hanya kerana jarak yang memisahkan...Ajaibkan..!

Kerana JAUHnya waktu yang beredar meninggalkan..kita merasakan manisnya memori silam..walaupun kenangan tersebut sebenarnya perit, tetapi berubah menjadi manis dengan perubahan masa yang berlaku..Misalnya, kenangan dirembat dengan tali pinggang, diikat di pohon berkerengga, dipukul dengan penyangkut baju, diikat dengan tali rafia (ana le tu,mcm x percaya je kan)...segala-galanya menjadi indah bila dikenang-kenang kembali..

Jadi hargai segala-gala yang kita ada,nikmatinya sebelum ia hilang..Fikirkan positif, mengapa kita perlu berjauhan dari keluarga tercinta,mengapa kita perlu berjauhan dengan sahabat seperjuangan,mengapa kita perlu meninggalkan zaman kanak-kanak yang indah ke alam dewasa yang serba mencabar? Kerana kita ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan,amanah yang perlu dilangsaikan.

Diharapkan Allah mengganjari segala usaha kita dan dinilai dengan pahala sebagai saham di akhirat kelak.Jadi jangan merungut apabila masalah menimpa.Nilailah dari sudut yang positif. "You are what you think..!"


Tuesday, October 26, 2010

Malumu Berharga


DARIPADA Abu Said al-Khudri katanya: "Rasulullah SAW adalah seorang yang sangat pemalu, lebih pemalu daripada gadis pingitan. Apabila Baginda tidak menyenangi sesuatu, kami dapat mengetahuinya dari wajah Baginda." (Hadis riwayat Muslim)


Subhanallah,walaupun Nabi Muhammad s.a.w merupakan kaum Adam tetapi Baginda mempunyai rasa malu yang menebal melebihi malunya si dara. Cuba kita renungkan dan cuba lihat di sekeliling kita. Apakah si gadis masih mempunyai rasa malu? Merelakan tubuh kurniaan Ilahi disentuh dan diratah sesuka hati oleh bukan mahram?Menikmati menawannya solekan yang berlebihan dan perhiasan yang melampau (tabarruj)?Membiarkan kelopak bungamu direnggut sang kumbang durjana?

Jangan lupa bahawa dalam setiap insan dianugerahkan satu rasa yang unik, iaitu rasa malu. Ia memainkan peranan yang penting dalam membentengi manusia daripada melakukan kemaksiatan dan kemungkaran serta membakar semarak kemahuan manusia untuk melaksanakan ketaatan kepada pencipta. Hebat bukan,hanya dengan rasa malu dan merasakan ia diperhatikan, manusia terbantut niatnya untuk melaksanakan perkara keji.
Ye,rasa malu menjadi benteng kepada manusia terutamanya muslimat.
Ana nak petik lirik lagu 'Puteriku Sayang' daripada kumpulan 'Hijjaz'

PUTERIKU SAYANG

Lembut mu tak bererti kau mudah dijual beli
Kau mampu menyaingi lelaki dalam berbakti
Lembut bukan hiasan bukan jua kebanggaan
Tapi kau sayap kiri pada suami yang sejati

Disebalik bersih wajah mu disebalik tabir diri mu
Ada rahsia agung tersembunyi dalam diri
Itulah sekeping hati yang takut pada ilahi
Berpegang pada janji mengabdikan diri

Malu mu mahkota yang tidak perlukan singgahsana
Tapi ia berkuasa menjaga diri dan nama
Tiada siapa yang akan boleh merampasnya
Melainkan kau sendiri yang pergi menyerah diri

Ketegasan mu umpama benteng negara dan agama
Dari dirobohkan dan jua dari dibinasakannya
Wahai puteriku sayang kau bunga terpelihara
Mahligai syurga itulah tempatnya

Rasa malu wanita tersangat berharga sehinggakan ia lebih kukuh dan teguh daripada benteng dan tembok duniawi. Jika wanita tidak segan silu menyerahkan maruah diri, bermaksud dia sendiri telah memecahkan benteng kehormatan dirinya. Cuba bayangkan jika si gadis membuka pintu kepada sang pencuri dan menjemputnya masuk ke rumah, "silalah masuk..". Secara logik akalnya,apakah tindakan pencuri tersebut? Peluang mencuri sudah terbuka luas kepadanya. Inilah peluang yang dinanti-nantikannya. Ketika pencuri memulakan langkah merenggut segala harta bernilai di dalam rumahnya,kemudian,barulah si gadis tersedar yang dia sudah menjemput seorang yang tidak diingini ke dalam rumahnya. "tolong,tolong, ada pencuri..!" hehe,memang kelakar bukan? Dia yang menjemput sang pencuri masuk, dan kemudian dia yang kecoh menjerit akan kedatangan pencuri. Adakah manusia akan peduli dengan kesilapannya?Barangkali jiran tetangga hanya mengagak bahawa ia hanyalah satu gurauan untuk tetamu yang dipelawa masuk tadi.


Sebaliknya, bagaimana pencuri hendak menceroboh rumah jika tuan rumah telah mengunci rapat pintu rumah,ditambah lagi dengan penggera keselamatan serta diupah pula pengawal keselamatan yang garang untuk mengawal keselamatan si gadis? Kalian pastinya boleh membezakan dua situasi ini bukan? Situasi yang pertama merujuk kepada wanita yang tiada rasa malu,hingga membiarkan kaum Adam mengambil kesempatan ke atas dirinya. Apabila sudah hampir terlanjur ataupun sudah ditinggalkan baru dia tersedar dari lena.

Berlainan pula dengan situasi yang kedua, di mana si gadis sangat berhati-hati menjaga kehormatan dirinya,tidak bergaul bebas dengan lelaki tanpa sebarang tujuan,tidak berbual kosong dengan ajnabi yang melalaikan,tidak berduaan dengan lelaki tanpa sebarang teman,tidak bisa melembutkan suara yang menggugah naluri lelaki,dan tidak bergelak ketawa dan bertepuk tampar dengan lelaki tanpa rasa malu dan segan. Wanita sebeginilah yang sentiasa menjadikan rasa malu sebagai benteng dirinya daripada membuka pintu segala kemaksiatan.
Ingat muslimat, pada kita ada semangat dan prinsip yang teguh yang perlu dipertahankan! Iaitu maruah diri dan rasa malu. "Tangan wanita yang lembut menghayun buaian mampu untuk mengongcang dunia". Kata-kata Ummu Aiman r.a " Pergilah menenun kain,berikan pedangmu kepadaku" .Kata-kata ini diungkapkan apabila tentera muslimin melarikan diri ketika Perang Uhud. Beliau bersemangat meluru ke medan perang dengan membantu tentera muslimin yang cedera serta memberi minum air. Beliau mengejek sinis kaum lelaki yang melarikan diri daripada medan perang. Begitu hebatnya muslimat pada ketika itu.

Bagaimana pula dengan wanita pada zaman sekarang, ibu yang hebat akan melahirkan zuriat yang hebat dengan izin Allah. Tetapi, bagaimana hendak mengimpikan pemuda-pemudi yang hebat jika ibu dan bapanya sendiri sentiasa mengundang murka Allah? Sebelum terlewat kita koreksi diri. Adakah selama ini kita meletakkan rasa malu sebagai pertahanan diri?Malu kepada Allah kerana berbuat maksiat,malu kepada rasulullah kerana mengabaikan sunnah baginda, malu kepada ajnabi sehingga melahirkan pergaulan bebas tak terjaga, malu kepada diri sendiri kerana menurut hawa nafsu tanpa sedar diri?

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Iman itu mempunyai tujuh puluh cabang atau enam puluh cabang, maka yang paling utama ialah ucapan "Tidak ada Tuhan yang sebenarnya melainkan Allah" dan yang paling rendah ialah membuang duri dari jalan dan sifat malu ialah satu cabang daripada iman." (Hadis riwayat al- Baihaqi)

p/s: tetapi malu perlu kena pada tempatnya.jangan malu berkata perkara yang benar walupun ia pahit.(pesanan untuk diri sendiri ni)

Sunday, October 24, 2010

GaRaM..


Kali ini ana hendak mengaitkan sesuatu jisim yang Allah jadikan,ia kecil dan sangat tidak bernilai di sisi manusia. Tetapi impaknya amat besar kalau kita kehilangannya dan juga jika kita terlalu mengagungkannya.

Ana rasa kalian mesti dah terlintas di fikiran dan dapat meneka apa yang ana maksudkan. Ia adalah GARAM.

Lihat sahabat-sahabat, garam tiada nilai dan pelaburannya, jika kita sendiri tidak meletakkannya di tempat yang tepat. Em, memang tak cerdik kalau kita letakkan garam dalam sirap (hihi,pernah berlaku juga). Tetapi kari ikan kembong akan jadi sangat enak dengan kehadiran garam, anugerah ciptaan Allah ni.

Ana hanya nak mengaitkan sedikit sebanyak garam dengan analogi dalam kehidupan kita.


a)Keseronokan duniawi :
Kadang-kadang, kita memerlukan garam dalam rencah hidup. Tetapi berbahaya kalau kita terlebih makan garam,kerana kandungan ammonium chloride(garam) yang tinggi dalam sistem badan boleh mengundang pelbagai penyakit ye,macam high blood pressure (darah tinggi). Jadi ambillah garam sekadarnya sahaja.
Begitu juga dengan keseronokan hidup yang Allah anugerahkan buat sementara waktu ni,hanya jadikan sedikit perencah kepada kita untuk meneruskan hidup serta mencari bekalan ke akhirat.Misalnya,kemewahan harta ibarat garam yang perlu digunakan sekadarnya untuk menyebarkan islam dan menolong orang miskin. Jika kita terlebih menikmati garam(kemewahan) kita akan menjadi seperti Qarun yang ditengelamkan harta benda serta kemewahannya oleh Allah. Kemewahan punca hati lalai dan alpa sehingga Qarun terlupa akan pemilik harta yang kekal abadi,iaitu Allah s.w.t

Diriwayatkan oleh Fadholah ibn Ubaid ra yang menyebut beliau mendengar baginda rasulullah bersabda : “Berbahagialah mereka yang diberi hidayah Islam dan hidup dengan bercukupan dan bersederhana.” (hadis sahih riwayat Tirmidzi ).

b) Nafsu serakah
Pernahkah kalian tertelan air laut? Jika ya,pasti kalian dapat mengimbas kembali betapa masinnya rasa air tersebut kan. Kemudian, pasti kalian akan merasa dahaga kerana terminumnya. Tetapi adakah rasa dahaga tersebut dapat dihilangkan dengan terus menghirup air tersebut. Tidak! Malah, semakin kalian minum,semakin perit tekak kerana rasa dahaga akan menjadi bertambah-tambah.Hal ini berlaku kerana kandungan garam yang tinggi di dalam air laut menyebabkan sel-sel dalam badan terhidrat sehingga menyebabkan kandungan air di dalam badan terlalu sedikit, dan jika terus dibiarkan akan mengundang kematian.
Begitu juga perihalnya dengan hawa nafsu manusia. Semakin dilayan dan dibelai, nafsu akan menjadi lebih enteng dan gagah. Malah,jika terus kita biarkan hawa nafsu akan tersu merosakkan anak Adam. Lebih teruk lagi, hawa nafsu boleh membunuh iman dan melemparkan kita ke dalam kemurkaan Sang Pencipta. Bagaimana nak hadapi hawa nafsu?Gunakanlah akal kurniaan Ilahi untuk memandu nafsu pada jalan yang benar.


c)Persahabatan
Bila makanan tawar dan tidak menyelerakan kita akan mula terkapai-kapai mencari garam dan kicap untuk menambah perasa. tetapi,kita tidak sedar apabila kita sudah mencapai kepuasan dan kebahagian dalam menikmati makanan tersebut, kita melupai jasa baik si garam tadi.
Begitu juga dengan senario kehidupan ni. Apabila kita kesunyian dan memerlukan orang di sisi kita mula mencari tempat mengadu dan bersandar. tetapi sebaik sahaja masalah selesai, kita melupakan sahabat tempat kita meluahkan masalah,sahabat yang bersama senang dan susah, sahabat yang makan sepinggan dan tidur sebantal dengan kita. Membiarkan si dia terkapai-kapai dan melihat kesusahan sahabat begitu sahaja.Inikah yang dimaksudkan dengan ukhuwwah?
Hal ini selalu berlaku dalam kehidupan kita. Ada satu masa kita sangat memerlukan sahabat tersebut. Dia tempat berkongsi segala-galanya. Kita menangis di ribanya,kita makan nasi yang disuapkannya,kita bergelak ketawa bersama,kita hadapi kesukaran bersama-sama. Sehinggakan kita merasakan kitalah sahabat dunia dan akhirat. tetapi Allah lebih Mengetahui, Dia menguji persahabatan kita selayaknya.
Bila perubahan masa berlaku, segala-galanya ibarat mimpi indah sahaja. Kisah-kisah persahabatan hanya jadi memori yang mengisi masa lampau. Ke mana janji manis sahabat?Upama nilai garam,rasa sedap sudah makanan menjadi hilang kerana kita sudah membuang satu komponen penting dalam makanan tersebut iaitu,rasa masin.

Solusinya,ingatlah bersederhana adalah yang terbaik. Manusia yang berlebih-lebihan tidak pernah puas. Selain itu,hargailah segala-gala yang kita miliki sebelum ia tiada.


p/s: tulisan ni merupakan cetusan hati ana pada beberapa sahabat, yang kian berubah sehingga ana merasakan ana semakin jauh dari kalian. mungkin berpunca dari kekhilafan ana yang tidak pandai menjaga hati sahabat. ana doakan persahabtan kami intim semula,dan dikurniakan kemanisan dalam ukhuwaah persahabatan lillahi taala.Amiin






Tuesday, October 19, 2010

RinDuNYeR


Hati ni dikurniakan pelbagai rasa yang akan menjadi perencah dalam kehidupan.Ada rasa masam manis,kelat2 ubi,pahit berdengung,tawar,xsedap hati,hati berbunga-bunga dan pelbagai macam rasa yang Allah berikan kepada kita.

Tetapi, adakah kita menilai dengan mata hati akan setiap perasaan yang hadir dalam benak hati kita?Pentingkah untuk menilai rasa hati?Tidak semua Allah bukakan mata hatinya untuk melihat sedalam-dalamnya mutiara dan karang dalam lautan kehidupan ini.

Kadang-kadang hati kita merasa gembira melihat hiburan tanpa sempadan. Kadang-kadang hati kata tak apa melihat kemungkaran di depan mata. Kadang-kadang hati rimas melihat orang yang menutup aurat litup. Apa yang tak kena agaknya dengan hati kita ni?

Orang yang hampir dengan Allah,pasti merasa gelisah melihat perkara mungkar dan maksiat. Manakala manusia yang berpaling tadah dari tali Allah sebaliknya, ia merasakan kemungkaran satu perkara yang rutin dalam kehidupan.

Wahai sahabat,tanyalah kepada fatwa hati. Hati yang tenang menggambarkan bahawa kita berada di jalan yang benar. Perlakuan kita adalah hak dan tidak menyimpang, ibarat anak panah yang dilepaskan tegap dari busur dan tepat mengena sasaran.Bagaimana pula kalau hati gundah gulana?Fikir-fikir la diri sendiri ye.

Ana terasa sangat rindu untuk menatap kembali sahabat-sahabat yang meninggalkan alam persekolahan yang hampir separuh dekad. Ulangan,baru separuh dekad! Tapi masyaallah perubahan diri berlaku sekelip mata. Yang bertudung menanggalkan tudung,tangan yang suci dicemari dengan sentuhan ridsect daripada ajnabi, baju yang panjang cuma tinggal separuh, pergaulan antara muslimin dan muslimat yang ditatang hanya tinggal memori indah..

Wahai rakan-rakan,hati ini menangis pilu melihat perubahan pada antum sekalian. Mengapa kalian berubah sedemikian rupa? Tak cukupkah didikan ustaz dan ustazah selama 5 tahun perskolahan kita. Antum semua adalah tauladan dan contoh kepada masyarakat.Mereka memandang tinggi kepada kita. Tapi kenapa kita yang mencampakkan maruah kita,seperti mencampakkan permata ke dalam lumpur?

Hati ini rindukan biah solehah dan rakan-rakan yang sering mengingatkan tika alpa dan lalai dengan ombak deras dari keseronokan duniawi. Maafkan ana kalau warkah ini menggugat rasa tidak senang hati dan kebencian kepada ana. Ini tanggungjawab kita bersama. Rakan-rakan,kembalilah kepada fitrah Islam. Kalian tidak akan rugi,malah beruntunglah pemuda-dan pemudi yang usia remajanya dipenuhi dengan amal ibadat dan ketaatan kepada Allah.

Hidayah kan milik Allah,jadi mohonlah kepada Allah agar ditetapkan hidayah dalam hati kita serta kita dimatikan dengan husnul khatimah. Basuh dan rawat hati dengan zikir dan munajat kepada Allah,iaitu pemilik sebenar-benarnya hati.Ya, allah tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami dalam dalam agamaMu dan dalam mentaati perintahMu..Amiiin..

Wednesday, October 13, 2010

"LIGHT REFLECTION.."












Dalam prinsip kedua pantulan cahaya menyatakan : Sudut tuju akan sama dengan sudut pantulan cahaya

Nah, di sini telah jelas ternyata makhluk ciptaan Allah yakni nur( cahaya) mengikut undang-undang dan sunnatullah yang agung. Apatah lagi kita sebagai manusia sudah pasti tidak akan lari dari ketetapan ini

Apa yang kita berikan pasti akan kembali semula kepada kita. Jika kebaikan yang kita sebarkan dan kita laksanakan pasti akan ada balasan baik daripada Pencipta.

"Barangsiapa mengerjakan kebaikan seberat zarah ,nescaya dia akan melihat (balasannya)nya"
(az-Zilzal: 7)

Jadi jangan ragu-ragu untuk mempercepatkan perkara kebaikan kerana janji Allah itu pasti. Setiap kebajikan pasti akan diperhitungkan oleh Allah.Tetapi jika hati teringin untuk melaksanakan kemaksiatan, maka cubalah bertangguh kerana ia pasti akan membantutkan keinginan jahat tersebut.

Hayati dialog ni:
Situasi A :

A : Eh..dia datang la, tolong lindung-lindung aku sikit.
B : Kenapa nak lindung pulak.Ko ada buat salah dengan dia ke?
A : Tak la, baju aku ni jarang la
B: Abis tu ?
A : Nanti dia tegur aku pulak
B: Ish2..Ko ni, dengan dia je nak malu. Abes selama ni ko pakai camni, ko tak malu pun dengan orang lain
A : Ye la,sebab dia je yang akan tegur aku. Malu ar nanti.

Situasi B :

C : Mak nak ke mana tu wangi-wangi, lawa-lawa..?
D : Mak nak keluar sayang, pergi kerja
C : Oh,kena pakai lawa-lawa ke, abis kalau kat rumah mak tak pakai macam ni pun
D : Ala kat rumah,sapa yang nak tengok. Dah2 jangan nak sibuk hal orang tua.

Situasi C :

E : Sejuk mata aku tengok Sarah tu, bertudung labuh, dan berstokin
F : Bagusla, ko bila lagi?
E : Aku tak layak nak pakai macam tu, fuh kalu aku pakai macam tu mesti semua akan pandang aku lain.
F : Nape lak?
E : Ye la, aku bukan budak baik. Aku tak layak nak pakai macam tu. Nanti, kalau aku kahwin, baru aku jinak-jinak pakai tudung.

Lihatlah sahabat-sahabat. Situasi tersebut digarapkan dalam lembaran hidup insan seharian di dunia ini. Mana konsep ihsan? Mengapa kita perlu berubah kerana takutkan dan segankan makhluk Allah yang lain?Ke manakah kita meletakkan kedudukan Allah dalam kehidupan seharian kita?

Renung-renungkanlah,manusia boleh takut, dan tunduk kepada manusia yang lain. Padahal,Allah itu agung dan lebih berkuasa kerana Dialah pencipta segala-galanya. Perubahan yang dilakukan disebabkan manusia yang lain pasti tidak akan bertahan lama.

Mengapa kita perlu bertangguh untuk berubah. Adakah kita tahu untung nasib kita selepas saat ini,selepas esok hari, pada minggu depan? Kita tidak tahu bukan. Marilah kita rebut lintasan hidayah yang Allah kurniakan sedetik cuma, untuk melonjokkan perubahan ke arah kebaikan.

Saya berpesan kepada diri saya dan sahabat-sahabat, ikhlaskan niat untuk berubah kerana Allah, walaupun hadir seseorang insan telah mengubah kita untuk menjadi lebih baik. Mungkin insan tersebut hanya wasilah Allah untuk mengubah diri kita. Dan beruntunglah orang yang sentiasa bermuhasabah diri daripada tidak pernah sedar diri.

Wallahua'lam


Saturday, October 2, 2010

HaTiKu MilikMu..



Ya, Allah aku rindu untuk menatap wajahmu
Aku rindu untuk bertemu Nabi junjungan-Mu
Syafaatkanlah aku ya Allah,
Syafaatkan aku ya Rasulullah,
Peliharalah aku dari percikan dan bahang api neraka-Mu
Peliharalah daku ketika saat getir di hari kebangkitan

Aku rindu untuk bermunajat di sepertiga malam
Aku rindu untuk menghirup nikmat syurga-Mu
Tapi aku tengelam dalam kemanisan duniawi
Tapi aku leka dengan nikmat masa yang dianugerahkan

Bimbinglah aku
Tetapkanlah aku di jalan-Mu
Jalan yang penuh liku
Jalan yang penuh luka
Agar aku dapat menghirup manisnya iman
Agar aku dapat bertatih menegakkan agama-Mu

Sungguh
Hatiku milikmu
Jasadku milikmu
Dan segala-galanya hanyalah pinjaman
Ku pohon
Agar aku diberi kekuatan
Menggunakan pinjaman ini sebaiknya
Untuk mencapai redhaMu..
Aku tersangat cinta padaMu..!