Saturday, March 10, 2012

Bukit Broga


Bismillahirrahmanirrahim..

Hampir sebulan lebih ana mula membiasakan diri di tempat tinggal baru dan dunia pekerjaan di pekan Kajang. Dikurniakan seorang rakan serumah yang baik dan guru-guru yang baik. Ada beberapa kenalan dan saudara sangat membantu ana menyesuaikan diri di sini.

Waktu hujung minggu agak terisi dengan sekolah ganti dan pengisian ilmiah di sekitar Bangi dan Kajang. Hujung minggu ini, ana berpeluang mendaki Bukit Broga yang terletak beberapa minit daripada Universiti Nottingham kampus Malaysia. Tempat ini sangat menarik dan menjadi tarikan pengunjung tempatan dan juga luar dari Selangor kerana dari sini, pengunjung dapat melihat keindahan matahari terbit dan terbenam. Cuaca yang dingin dan berangin akan membuatkan pengunjung bersantai dan tenang.


Ana hanya mendaki berdua bersama adik bermula jam 7.45 pagi. Kami hanya membawa sedikit bekalan sandwich dan air mineral. Sebelum memulakan pendakian, kami melakukan sedikit regangan agar kaki tidak kejang dalam perjalanan naik dan turun dari bukit. Jalan-jalan denai dan kelihatan bertangga agak membantu pengunjung untuk mendaki dengan lebih mudah dan pantas. Terdapat juga tali-tali yang diikatkan di beberapa laluan yang agak curam untuk membantu pendaki naik dengan lebih selamat.

Kira-kira 40 minit kemudian, kami tiba di puncak pertama dengan peluh bermandian di wajah dan seluruh badan. Tetapi, memang sangat berpuas hati dan kepenatan terus hilang sebaik sahaja melihat puncak bukit Broga yang berkabus dan kehijauan. Kanak-kanak seawal umur 4 tahun turut berada bersama di sini. Kagum dengan ketahanan dan semangat kanak-kanak ini. Terdapa juga warga tua dan muslimat yang berpurdah turut serta dalam pendakian pada kali ini. Ada juga pasangan kekasih yang tidak segan silu berdating di celah-celah batu. Semuanya datang dengan tujuan dan niat yang berbeza-beza. Hanya niat yang baik akan dinilai oleh Allah sebagai pahala di sisinya.

Sambil mengalas perut, ana dan adik berkesempatan berbual-bual menikmati kedinginan udara di atas puncak. Kawasan puncak dipenuhi dengan lalang-lalang putih yang menyerikan kawasan bukit. Subhanallah. Indahnya pagi di bukit Broga. Kabus masih tebal membuatkan sang matahari tidak kelihatan walaupun jam dah menunjukkan jam 9.30 pagi. Ana dan adik membuat keputusan untuk turun kerana risaukan cuaca hujan yang pasti akan menyukarkan perjalanan untuk turun. Sekiranya hari hujan, pengunjung tidak digalakkan mendaki kerana batu-batu dan jalan denai akan menjadi licin dan merbahaya.

Kira-kira pukul 9.50 pagi, ana dan adik sudah sampai di bawah. Ana sangat bersyukur kerana berpeluang untuk menikmati keindahan alam di sini. Memang sangat berpuas hati kerana aktiviti ini meningkatkan kekuatan kaki dan memang sangat mengeluarkan peluh. Aktiviti mendaki ini memang sesuai untuk pemuda-pemudi yang hendak menguruskan badan dan meningkatkan ketahanan otot kaki. Semoga ana dapat datang lagi, untuk mendaki buat sekelian kalinya.