Friday, February 10, 2012

Ya Muallimah..








Bismillahirrahmanirrahim..
Kupanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Ilahi, kerana ditempatkan di Sekolah Jalan Bukit 1, untuk mengajar pada pertengahan Januari lalu.Sebuah sekolah kecil yang terletak di tengah-tengah pekan Kajang dan berkongsi kebanyakan kemudahan dengan SK Jalan Bukit 2. Dua sekolah dalam satu pagar yang berkongsi pintu pagar,padang,dan kantin.
Sekolah yang mempunyai murid berbilang bangsa,dan sesetengah murid mengunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pertuturan mereka.Ana diberikan tugasan mengajar Sains,Pendidikan Moral, Pendidikan Jasmani, Pendidikan Muzik. Ana terima semua tugas ni dengan hati yang redha. Di samping perlu menjadi Ketua Panitia Muzik dan Ketua Panitia Moral. Semoga ana dapat menjalankan tugasan dengan baik.Kerana Allah semata-mata.
Di sini, kalimah assalamualaikum kurang didengari,kerana kebanyakan murid akan menyebut selamat sejahtera. Sekiranya guru memberikan salam, murid muslim akan menjawab dengan waalaikumussalam ya Muallimah. Kalimah ini sungguh menyejukkan hati ana. "Muallimah" bermaksud pendidik bagi perempuan. Ya,kamilah pendidik kalian untuk menjadi manusia berguna kepada agama,bangsa dan negara. Taatilah guru,hindari kemarahan guru kerana di situlah terletaknya keberkatan ilmu.
Dalam kebanyakan kelas, ana berasa lebih mudah mengajar murid tahap dua yang lebih mengerti apabila dimarahi,disayangi,atau dikritik. Tetapi,cabaran sebagai seorang guru baru bermula apabila ana diberikan tugasan untuk mengajar Pendidikan Moral dan Bahasa Melayu bagi murid Tahun 1. Walaupun baru melangkahkan kaki ke Tahun 1,mereka bertutur dalam Bahasa Ingggeris,walaupun dalam kelas Bahasa Melayu.Murid cilik ini, tidak mengerti jika dimarahi ataupun ditinggikan suara. Pandangan mereka sungguh satu dan kelihatan sangat kasihan.Sesetengah mereka datang daripada rumah kebajikan kanak-kanak,disebabkan keretakan rumah tangga ibu bapa mereka.Namun, ini merupakan tanggungjawab guru memberikan perhatian dan kasih sayang yang tidak mereka perolehi di rumah.
Hari demi hari, ana semakin mengenali karakter setiap murid, iaitu Christoper, Brayan, Pravin, Darvin, Armanda, Swarlantha,Manisha. Walaupun, hanya tujuh orang murid dalam subjek ini, namun setiap kali tamat kelas,ana pasti rasa tekak ni perit je, dan dah kehabisan tenaga. Semua masing-masing sibuk berjalan dan mengusik kawan-kawan. Berulang kali disuruh untuk kembali ke tempat masing-masing. Tetapi,semua buat tidak endah,seolah-olah tidak memahami arahan yang diberikan. Semoga ana terus dikurniakan kesabaran mendidik murid-murid ni.
Setakat ni,ana cuba menggunakan kaedah token untuk memberikan ganjaran kepada mereka yang berkelakuan baik sepanjang p&p berlangsung. Pada hari ini, dua murid diberikan token kerana menyiapkan kerja rumah dan berkelakuan baik. Murid yang mendapat token terbanyak akan menerima hadiah daripada cikgu. Semoga,kali ini ana dapat mengawal disiplin mereka dengan lebih baik.

"Ya Allah,semoga engkau lembutkan hati anak-anak muridku untuk memahami apa yang diajarkan dan lembutkan hati mereka dengan cahaya petunjukMu.Aku tidak terdaya melainkan segala kudrat yang telah kau berikan kepadaku.Kurniakan kecemerlangan kepada mereka dunia dan akhirat.." Amiin..

Ana akan memanjatkan doa ini dalam setiap solat. Sekarang barulah ana mengerti perasaan menjadi seorang guru yang perlu mengawal 30 anak murid dalam satu masa. Seorang ibu pun tidak dapat melayan 4-5 orang anaknya dalam satu masa, apatah lagi seorang guru yang perlu bersikap proaktif memastikan 30-40 orang anak muridnya dapat dikawal disiplin dan menjadi manusia berguna.

Terima kasih mak dan ayah yang juga seorang guru. Pasti mak dan ayah bersusah payah mendidik anak bangsa di samping membesarkan kami dengan ilmu-ilmu duniawi dan ukhrawi. Ana harapkan untuk mencontohi kegigihan mak dan ayah. Teringat kata-kata mak.."hanya ilmu harta yang mak akan tinggalkan untuk anak-anak,kalau hilang ilmu di dada, tiada siapa lagi akan menjaga kita.."..